MASZLEE (tiga, kanan) menyampaikan trofi kepada Xu Yang (tiga, kiri). Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching (dua, kiri). FOTO Bernama
MASZLEE (tiga, kanan) menyampaikan trofi kepada Xu Yang (tiga, kiri). Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching (dua, kiri). FOTO Bernama
Zatul Iffah Zolkiply

PESERTA dari China, Xu Yang atau Izzah, 19, dinobatkan sebagai Johan Kategori Antarabangsa pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2018 (PABM) di Kuala Nerus, malam tadi.

Tempat kedua pula bagi kategori sama dimenangi Aurore Jeannot, 27, dari Perancis dan tempat ketiga dimenangi Leon Woltermann, 22, dari Jerman.

Sementara itu, bagi Kategori Alam Melayu, tempat pertama menjadi milik peserta negara, Muhammad Syahmi Akif Jamili, 23, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menjadi milik Huda Ahmad, 18, (Thailand) dan Adam Muhammad Taufiq Mohamad Suharto, 22, (Malaysia).

Bagi Kategori Antarabangsa di Malaysia, johan menjadi milik penuntut tahun dua Sarjana di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Sajarah Mohd Ali, 27, dari Kemboja sementara tempat kedua dimenangi Nafisa Mayukh, 20, (Bangladesh) dan tempat ketiga, Mahad Mohamed, 22, (United Kingdom).

Johan bagi setiap kategori membawa pulang Piala Pusingan, wang tunai RM10,000 dan sijil penghargaan.

Bagi naib johan dan tempat ketiga, pemenang membawa pulang wang tunai RM8,000 dan RM5,000 bersama piala dan sijil iringan.

Hadiah disampaikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

PABM Piala Perdana Menteri yang memasuki edisi ke-12 disertai 50 peserta dari 31 negara.

Ia membabitkan tiga kategori iaitu Alam Melayu, Antarabangsa dan Pelajar Antarabangsa di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 1:50 AM