SEMBILAN peserta yang layak ke peringkat akhir PABM 2015 di UNITEN, Bangi.
SEMBILAN peserta yang layak ke peringkat akhir PABM 2015 di UNITEN, Bangi.
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Kuala Lumpur: Pertandingan Akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), esok dijangka menonjolkan saingan sengit antara peserta Malaysia, United Kingdom, Libya, Mesir, Thailand, Amerika Syarikat, Iraq dan Australia.

Sekalipun hanya sembilan individu berentap di pentas akhir, semua peserta yang terpilih di peringkat separuh akhir, semalam tidak sabar merebut gelaran johan dan membawa pulang Piala Perdana Menteri bersama wang tunai AS$7,000 (RM27,300).

Peserta yang menjadi tumpuan kategori antarabangsa, Joshua Parfitt, 22, rasa bertuah apabila diumumkan berjaya ke peringkat akhir di PICC.

Pelajar bidang muzik di School of Oriental and African Studies di University of London itu mengaku tidak meletakkan harapan besar untuk menang kerana cinta kepada bahasa Melayu melebihi segala-galanya.

“Saya akan melakukan yang terbaik di PICC nanti. Bagaimanapun, kalau bukan rezeki, saya tetap berpuas hati kerana dapat menyampaikan pidato berbahasa Melayu di pentas utama.

“Apa yang penting, suara saya didengar dan mesej dibawa sampai kepada orang ramai,” katanya yang bercadang mengekalkan teks pidato sama bertemakan alam sekitar.

Selain Parfitt, peserta sandaran negara Then Siaw Lian, 23, turut mendapat perhatian sepanjang separuh akhir PABM, semalam.

Pelajar jurusan undang-undang di Universiti Malaya itu adalah peserta bukan berbangsa Melayu pertama terpilih mewakili negara ke peringkat akhir PABM.

Gadis Cina dari Sarawak ini bukan calang-calang pesaing kerana menewaskan 30 calon Melayu di peringkat saringan.

“Saya pernah menyertai pertandingan debat dan kini giat berpidato. Sebagai persediaan saya akan terus berlatih dan memperbaiki sebutan, intonasi serta gaya penyampaian,” katanya.

Then berkata, dia bertuah kerana mendapat bimbingan jitu daripada jurulatih dan memilih tema perpaduan untuk bersaing hingga peringkat akhir.

“Jujurnya, saya memang sengaja memilih tema ini kerana status sebagai anak Cina Sarawak.

“Saya akan mengaitkan keistimewaan semua bangsa di Malaysia terutama Melayu, Cina dan India,” katanya.

Bagi peserta kategori Pelajar Antarabangsa Malaysia (PAM), Maher GM Abdolrasol pula, peluang ke peringkat akhir memberi cabaran lebih besar kerana dia masih dalam proses mendalami bahasa Melayu.

Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu bagaimanapun optimis dan yakin untuk menang di PICC, esok.

Sementara itu, Penyelaras Teknikal dan Penjurian PABM Dr Mazlena Mohamad Hussain berkata, PABM kali ini disertai ramai peserta berkualiti.

“Mereka melalui tiga peringkat saringan iaitu di universiti masing-masing, Kementerian Pendidikan Tinggi dan PABM.

“Proses itu meliputi ujian kefahaman dan sesi temu bual bagi memastikan peserta menguasai bahasa Melayu dan bukan sekadar menghafal teks pidato untuk memenangi pertandingan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 10:54 AM