GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Miri: Lelaki ditahan empat jam selepas gagal dalam cubaan menyamun wanita di dalam kereta mangsa di Jalan Taman Permai Jaya di sini, semalam.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, mangsa, juruwang berusia 36 tahun, berada dalam kereta apabila suspek terus memasuki kereta itu dan mengacu pisau sambil memaksa mangsa memandu kereta.

Bagaimanapun, mangsa bertindak pantas dengan keluar dari kereta sambil menjerit meminta pertolongan dari orang awam di kawasan itu sehingga memaksa suspek panik dan cuba melarikan dengan menaiki motosikal.

Ketua Polis Miri, Asisten Komisioner Khoo Leng Huat berkata, orang ramai cuba untuk menangkap lelaki tersebut tetapi gagal apabila suspek dapat meloloskan diri selepas terjatuh dengan meninggalkan motosikal dan pisau di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, atas maklumat awam, suspek berusia 43 tahun itu ditangkap di pekarangan rumahnya di Permyjaya di sini pada 5.40 petang, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana menyamun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 1:17 PM