Polis menjalankan siasatan di rumah mangsa. - Foto Ihsan PDRM
Polis menjalankan siasatan di rumah mangsa. - Foto Ihsan PDRM
Mohamad Zulhairie Manzaidi


DUA lelaki berusia 30-an ditahan susulan rusuhan bersenjata di depan sebuah kedai menjual perisa dan rokok elektronik di simpang empat, Jalam Bayam, Kota Bharu.

Mereka dipercayai menyerang rumah seorang pegawai penguatkuasa Majlis Daerah Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di Berek 12, Kota Bharu pada 11.20 malam tadi, menyebabkan dua kereta rosak dan cermin tingkap rumah dipecahkan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, suspek pertama ditahan di rumahnya pada 11.40 malam, manakala suspek kedua di sekitar Kota Bharu pada 10 pagi tadi.

"Mereka ditangkap susulan kejadian rusuhan bersenjata di hadapan sebuah kedai malam tadi di mana kedua-duanya bersama seorang lagi lelaki yang masih bebas dipercayai menyerang penguat kuasa MPKB-BRI dengan pedang samurai dan parang.

"Mereka merosakkan dua kenderaan MPKB-BRI serta memancitkan tayar kenderaan berkenaan. Suspek turut mengamuk terhadap mangsa (pegawai MPKB-BRI).

"Suspek sama juga menyerang rumah mangsa di Berek 12 dan merosakkan dua kenderaan yang diletak di pekarangan rumah serta cermin tingkap rumah dipecahkan," katanya di sini, hari ini.

Ismail berkata, suspek dipercayai bertindak demikian kerana tidak berpuas hati selepas mangsa dan pasukannya menyerbu perniagaan menjual shisha diusahakan di Kubang Kerian pada 10.30 malam.

Mangsa dan pasukan MPKB-BRI merampas tujuh botol shisha dan 15 kerusi plastik serta mengenakan saman susulan perniagaan itu yang diusahakan secara haram mengikut Seksyen 102 (2) Akta 171 Kerajaan Tempatan dan Undang-Undang Kecil Perniagaan.

"Kita menahan reman kedua-dua suspek selama empat hari bermula hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 186, Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan selain Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2017 @ 4:07 PM