Antara haiwan peliharaan yang disita Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) berikutan merayau di jalan raya di sekitar Kampung Seribong dan Jalan Baru Pasir Hor di sini, semalam. FOTO MPKB-BRI.
Antara haiwan peliharaan yang disita Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) berikutan merayau di jalan raya di sekitar Kampung Seribong dan Jalan Baru Pasir Hor di sini, semalam. FOTO MPKB-BRI.
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) sudah menyita 20 lembu dan 18 kambing yang merayau di atas jalan sehingga membahayakan nyawa pengguna.

Tangkapan dilakukan hasil operasi bersepadu antara MPKB-BRI bersama pihak polis itu dijalankan sejak sebulan lalu sehingga semalam di daerah ini termasuk di jalan utama dan perkampungan.

Ketua Jabatan Penguatkuasaan MPKB-BRI Mohd Halimie Md Salleh berkata, semua haiwan itu bernilai lebih RM100,000.

Katanya, dalam operasi terbaru semalam, antara jam 12 tengah malam hingga 6 pagi di Kampung Seribong dan Jalan Baru Pasir Hor di sini, pihaknya menyita lima lembu yang merayau di atas jalan.

"Operasi dijalankan selepas mendapat aduan daripada orang awam dan hasil pemantauan anggotanya yang mendapati pemilik melepaskan haiwan peliharaan di jalanan.

"Haiwan yang disita itu akan dibawa dengan lori dan disimpan di kandang simpanan MPKB-BRI sebelum dilelong kepada orang awam.

"Pemilik haiwan yang disita boleh dikenakan tindakan mengikut Undang-Undang Kecil Haiwan Merayau MPKB (P) 2003 yang akan dikenakan denda RM2,000," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, ada pemilik mengaku haiwan yang disita miliknya, namun ramai yang tidak mengaku kerana takut akan dikenakan tindakan.

"Kita menasihatkan kepada pemilik supaya menambat haiwan peliharaan mereka di tempat yang selamat bagi mengelakkan tindakan sita.

"Pihak kita akan terus membuat operasi sekiranya mendapat aduan dan mendapati ada haiwan yang masih merayau di jalan," katanya MPKB-BRI turut menyita anjing jalanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 2:44 PM