Pemergian Mohamad Thaqif dikatakan berpunca daripada kencing tikus.
Pemergian Mohamad Thaqif dikatakan berpunca daripada kencing tikus.
Mohd Sabran Md Sani


KELUARGA pelajar Madrasah Tahfiz Al-Jauhar, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gadaffi, 11, yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada 26 April lalu masih menunggu laporan penuh perubatan berkaitan punca kematian anaknya.

Bapa kanak-kanak itu, Mohd Gadaffi Md Karim berkata, sehingga kini tiada laporan diterima daripada pihak hospital meskipun kematian anaknya itu berlaku hampir tiga bulan lalu.

"Sudah hampir tiga bulan Allahyarham Mohamad Thaqif Amin meninggal dunia dan sehingga kini tiada laporan diterima mengenai punca kematiannya itu.

"Sebaliknya kami menerima laporan berkenaan dari pihak ketiga hari ini dan masih terkejut dengan perkara itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan perubatan dikeluarkan terhadap kematian anaknya yang dikatakan berpunca daripada kencing tikus ketika ditemui di rumahnya di Taman Bukit Tiram, Ulu Tiram, hari ini.

Menurutnya, sebelum ini keluarga berkenaan juga melantik peguam pemerhati bagi mendapatkan laporan penuh perubatan arwah anaknya itu.

Isterinya, Felda Wani Ahmad, 40, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai keputusan laporan perubatan membabitkan anaknya itu.

"Kenapa mereka tidak memberitahu kami terlebih dahulu, sebab dia anak kami.

"Sekarang keadaan bertambah keliru dan hanya dimaklumkan selepas lebih dua bulan berlalu baru diisytiharkan," katanya yang juga guru sains Sekolah Kebangsan Taman Bukit Tiram.

Katanya, biasanya laporan penyakit berkaitan kencing tikus hanya boleh diketahui dalam tempoh singkat, sebaliknya berbeza dengan keadaan dilalui anaknya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2017 @ 7:09 PM