MOHAMAD Thaqif Amin (kiri) bersama ibunya ketika masih belajar di sebuah madrasah di Kota Tinggi. FOTO Arkib NSTP.
MOHAMAD Thaqif Amin (kiri) bersama ibunya ketika masih belajar di sebuah madrasah di Kota Tinggi. FOTO Arkib NSTP.
Mohd Sabran Md Sani


MAHKAMAH Koroner di Johor Bahru, hari ini memutuskan kematian pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi yang meninggal dunia pada 26 April 2017, sebagai bukan jenayah.

Koroner Jailani Abd Rahman sebaliknya mengumumkan kematian kanak-kanak 11 tahun itu disebabkan komplikasi yang berkaitan kencing tikus atau leptospirosis.

Keputusan itu dibuat selepas selesai pendengaran 18 saksi inkues dan 63 eksibit dalam inkues kematian Mohamad Thaqif Amin yang dimulakan sejak Januari 2018.

Jailani dalam alasan penghakimannya berkata, memutuskan perkara itu selepas meneliti semua keterangan yang diperdengarkan di hadapannya.

“Saya berpuas hati bahawa kematian Mohamad Thaqif adalah disebabkan komplikasi berkait dengan kencing tikus dan tiada sesiapa bertanggungan secara jenayah sama ada dengan perbuatan atau peninggalan terhadap kematian beliau,” katanya.

Menurutnya, keterangan itu juga disokong dengan saksi inkues ke-11, Pakar Patalogi Hospital Sultanah Aminah (HSA), Dr Mohamad Aznool Hady Ahsonori.

“Pemeriksaan pada bahagian kaki yang dipotong itu, ia adalah proses bercorak sistemik iaitu menyeluruh atau tidak bercorak fokal seperti biasa apabila berlaku kecederaan.

“Pembekuan darah boleh disebabkan dua perkara iaitu jangkitan atau bukan jangkitan. Jadi dalam kes ini, ia disebabkan jangkitan kuman,” katanya.

Walaupun pada asalnya Mohamad Thaqif Amin mempunyai tonsil tetapi ia negatif, bahkan kehadiran itu selepas penemuan kencing tikus pada sampel dihantar ke makmal di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Kuala Lumpur.

Jailani memberitahu, apabila ujian dilakukan, dapat dikesan ada kuman kencing tikus di bahagian kiri dan kanan buah pinggang mangsa.

Selain itu, mahkamah mendapati keterangan terbabit konsisten dengan saksi inkues membabitkan ibu, ayah, bapa saudara dan sepupu yang memaklumkan mangsa ada ke sebuah kolam mandi di Jalan Mawai.

“Penyakit kencing tikus boleh dikenali sebagai ‘The Great Mimicker’ dan berkemungkinan terlepas pandang disebabkan oleh pelbagai presentasi klinikal.

“Jadi tiada sesiapa bertanggungan secara jenayah sama ada perbuatan atau peninggalan kematiannya,” katanya.

Mengenai persoalan kematian simati disebabkan oleh sesiapa, Jailani memberitahu, bukan Mohamad Thaqif Amin sahaja dikenakan hukuman tetapi pelajar lain dan hukuman di tapak kaki serta tiada keterangan yang menunjukkan terdapat kesan lain di bahagian badan dan anggota lain.

“Ibunya juga menyatakan ketika mendaftar keluar anaknya, tidak nampak apa-apa kesan pukulan lebam pada bahagian kaki,” katanya.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikemukakan di mahkamah mendapati hukuman dilihat minimum dan tidak fatal apatah lagi untuk menyebabkan kematian.

Keputusan kes itu dibentangkan di hadapan Pengarah Pendakwaan Negeri, Roslan Mat Nor dan Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shafi’uddin.

Inkues kematian Mohamad Thaqif Amin bermula dengan saksi inkues pertama dipanggil pada 10 April 2018 dan saksi terakhir pada 29 Januari lalu membabitkan pegawai penyiasat kes terbabit.

Mohamad Thaqif Amin meninggal dunia pada 2.05 petang, 26 April 2017 di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru ketika mendapatkan rawatan selepas kedua-dua kakinya dipotong berikutan jangkitan kuman dan darah beku.

Mohamad Thaqif pada mulanya dimasukkan ke HSI seminggu sebelum itu dan dilaporkan pernah disebat oleh pembantu warden asrama madrasahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 1:12 PM