Mohamad Insani didakwa di Mahkamah Majistret Trafik di sini hari ini atas lima pertuduhan iaitu kenderaan tidak berdaftar, mempamerkan nombor pendaftaran bukan kepunyaan, tidak mempunyai lesen kenderaan motor, cukai jalan tamat tempoh dan memandu cara berbahaya. FOTO Adzlan Sidek
Mohamad Insani didakwa di Mahkamah Majistret Trafik di sini hari ini atas lima pertuduhan iaitu kenderaan tidak berdaftar, mempamerkan nombor pendaftaran bukan kepunyaan, tidak mempunyai lesen kenderaan motor, cukai jalan tamat tempoh dan memandu cara berbahaya. FOTO Adzlan Sidek
Raja Noraina Raja Rahim


LELAKI yang melarikan diri daripada anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana memandu kereta klon hingga mengakibatkan kemalangan empat kenderaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Khas Trafik, di sini, semalam.

Tertuduh, Mohamad Insani Abdul Ghani, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Marlissa Mohd Fahmy.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream didakwa memandu secara berbahaya di Jalan Permata 2, Nilai 3, antara jam 5.15 petang hingga 6 petang, pada Isnin lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000 jika sabit kesalahan.

Bagi empat lagi pertuduhan, dia didakwa menggunakan kenderaan tidak didaftarkan, mempamerkan nombor pendaftaran lain, tiada lesen memandu dan kenderaan tidak dilindungi polisi insurans.

Semua kesalahan itu dibaca mengikut Seksyen 7(1), Seksyen 108(3)(f), Seksyen 23(1) dan Seksyen 90(2) APJ 1987.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi semua pertuduhan berkenaan dan menetapkan 3 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2017 @ 4:04 PM