GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nuraliawati Sabri

Melaka: Seorang remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, tadi, atas tuduhan menghalang penjawat awam dan memandu secara merbahaya.

Tertuduh yang berusia 15 tahun itu membuat pengakuan bersalah sejurus kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa menghalang tugas seorang koperal daripada menjalankan tugasnya sebagai penjawat awam.

Justeru tertuduh berdepan dengan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan berikutnya, tertuduh didakwa sebagai pemandu pacuan empat roda memandu kenderaan itu di atas jalan raya dengan keadaan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

Oleh itu dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 pindaan 1999 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan remaja terbabit di Jalan Bukit Baru-Duyong pada jam kira- kira 6.30 petang, Sabtu lalu.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari mencadangkan jumlah jaminan RM8,000 bagi pertuduhan menghalang penjawat awam dan RM5,000 untuk memandu secara merbahaya.

Tertuduh yang diwakili peguam Amritpal Singh merayu jumlah jaminan rendah diberikan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dan menetapkan 12 Ogos depan untuk laporan akhlak.

Media sebelum ini melaporkan, tindakan tiga remaja lelaki yang kononnya ingin keluar bersiar-siar membawa padah apabila mereka direman selama tiga hari dan dikompaun RM3,000 setiap seorang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 5:50 PM