Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Pengurus bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu melulu dengan melawan arus sehingga merempuh kereta lain di susur keluar Jambatan Pulau Pinang, 2 Oktober lalu.

Teoh Mung Ni, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kereta BMW 5 Series dengan cara melulu dan mendatangkan bahaya kepada orang ramai sehingga menyebabkan kemalangan dengan kereta Perodua Bezza.

Wanita itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan pada jam 12.30 tengah malam pada 2 Oktober lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil manakala tertuduh diwakili peguam, K Mahendran.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Januari depan bagi sebutan semula kes.

Terdahulu Harian Metro, melaporkan seorang lelaki berusia 22 tahun cedera selepas kenderaan dinaikinya dirempuh sebuah kereta dipandu secara melawan arus di susur keluar Jambatan Pulau Pinang menghala Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 2:13 PM