Pasukan mencari dan menyelamat melakukan operasi mencari mangsa hari ini. FOTO ihsan bomba
Pasukan mencari dan menyelamat melakukan operasi mencari mangsa hari ini. FOTO ihsan bomba
Siraj Mohd Zaini


LELAKI warga emas dikhuatiri lemas ketika menjala ikan di pesisir pantai Morib, Banting, petang semalam.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, Juani Mohd, 61, didapati hilang oleh ahli keluarganya sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak berkuasa.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat mangsa turut dibantu agensi lain seperti polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Operasi mencari diteruskan lagi pagi ini dengan bantuan pasukan keselamatan lain kira-kira satu batu nautika dari pesisir pantai.

"Selain itu, nelayan tempatan juga dimaklumkan sekiranya menjumpai mangsa supaya memaklumkan kepada pihak berkaitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2017 @ 11:18 AM