Antara video yang tular di laman sosial menunjukkan ujian dilakukan terhadap beras jenama cap Rambutan SST Lima Peratus. FOTO ihsan pembaca
Antara video yang tular di laman sosial menunjukkan ujian dilakukan terhadap beras jenama cap Rambutan SST Lima Peratus. FOTO ihsan pembaca
Siti A'isyah Sukaimi


KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani mengesahkan tiada bendasing plastik ditemui dalam beras jenama cap Rambutan SST Lima Peratus berdasarkan keputusan awal ujian yang dijalankan.

Ujian dilakukan itu susulan daripada beberapa video yang tular di media sosial berkaitan dakwaan ada kandungan beras plastik dalam kampit jenama cap Rambutan itu.

Menurut kenyataan dikeluarkan kementerian berkenaan, Cawangan Kawal Selia Padi dan Beras menjalankan pemeriksaan di kilang pemprosesan dan pembungkusan beras jenama itu di Mergong, Alor Setar, Kedah, hari ini.

"Pemeriksaan dijalankan termasuk mengenal pasti punca utama beras dan meneliti keseluruhan proses pembungkusan beras berkenaan.

"Hasil pemeriksaan dan siasatan mendapati, syarikat itu memperoleh bekalan daripada sumber sah iaitu daripada petani dan pengilang tempatan," kata kenyataan itu yang dikeluarkan di Putrajaya, hari ini.

Selain itu, beberapa siri ujian juga dijalankan seperti ujian ketahanan beras, ujian iodin bagi menguji kandungan kanji serta ujian bakar dan masak.

"Seterusnya, sampel beras juga diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis lanjut.

"Pada masa sama, siasatan dan pemeriksaan yang sama akan dijalankan di kilang pengeluar negeri Perak pada 19 Jun (esok)," katanya.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu boleh menghubungi pejabat Kawal Selia Padi dan Beras di setiap negeri.

"Ini bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan sebaiknya serta dapat mengelak kekeliruan dalam kalangan pengguna beras di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2017 @ 5:51 PM