MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kanan) menyampaikan sumbangan duit raya kepada balu tentera di Majlis Ihya Ramadan Angkatan Tentera Malaysia dan Pesara Angkatan Tentera Malaysia di Padang Kawad Batalion ke Enam Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah. FOTO Sharul Hafiz Zam
MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kanan) menyampaikan sumbangan duit raya kepada balu tentera di Majlis Ihya Ramadan Angkatan Tentera Malaysia dan Pesara Angkatan Tentera Malaysia di Padang Kawad Batalion ke Enam Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah. FOTO Sharul Hafiz Zam
Aizat Sharif


KERAJAAN akan mengumumkan pengenalan skim baru yang lebih holistik bagi membantu 170,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen di negara ini dalam menangani isu membabitkan kenaikan kos sara hidup, perubatan dan perumahan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka akan mengumumkan sendiri pengenalan skim berkenaan semasa Majlis Himpunan Raksasa Veteran di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 31 Julai nanti bersempenan dengan sambutan Hari Pahlawan 2017.

“Skim baru ini adalah untuk veteran ATM yang dihasilkan berdasarkan kumpulan perbincangan yang dilakukan selama enam minggu yang berkahir semalam membabitkan pihak seperti Kementerian Pertahanan (MINDEF), ATM, Persatuan Veteran ATM serta pemain industri dalam sektor perumahan.

“Jika dinilai, bukanlah mudah untuk membuat keputusan dalam membentuk skim berkenaan kerana ia turut membabitkan pelbagai masalah dan isu rumit yang sudah dibentangkan sejak sekian lama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ihya Ramadan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama Menteri Besar Kedah di Kem Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Jitra hari ini.

Tambahnya, cabaran untuk mengadakan skim berkenaan sangat besar kerana pihaknya turut berusaha untuk menyelesaikan isu serta permasalahan membabitkan anggota tentera ini hanya berdasarkan peruntukan kerajaan yang sedia ada ditambah lagi dengan ketidak tentuan ekonomi dunia.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, Hishamuddin turut memberikan Bayaran Insentif Khas Insurgensi kepada 30 veteran ATM dari negeri Kedah.

Pada pengumuman Bajet 2017 lalu, sebanyak 2,939 veteran ATM seluruh negara bakal menerima bayaran berkenaan dengan peruntukkan sebanyak RM55 juta yang sudah pun dimulakan sejak 19 Mei lalu.

Dalam perkembangan yang sama juga, Hishamuddin berkata pihaknya dijangka mengumumkan satu ‘blueprint’ dalam menyelesaikan masalah perumahan di kalangan anggota tentera seluruh negara pada Sepmtember nanti.

“Pihak kami sudah pun mewujudkan satu kumpulan perbincangan untuk meneliti pandangan serta cadangan yang diusulkan oleh pihak ATM yang dijangka dapat diselesaikan permasalahan itu menjelang tahun 2035.

“MINDEF juga sedang bekerjasama dengan kerajaan tempatan untuk menyediakan tanah dalam membina rumah mampu milik bagi anggota tentera yang masih berkhidmat,” katanya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Mejar Jeneral Datuk Mohd Khir Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2017 @ 9:46 PM