SHAHRIL Hisham (kanan) dijatuhi hukuman penjara seminggu dan denda RM15,000. FOTO Muhd Asyraf Sawal
SHAHRIL Hisham (kanan) dijatuhi hukuman penjara seminggu dan denda RM15,000. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


MAHKAMAH Tinggi Kuantan mengenepikan hukuman penjara sehari terhadap seorang bekas pegawai tentera berpangkat Leftenan Kolonel atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM5,794 tiga tahun lalu.

Keputusan berkenaan dibuat Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz selepas menerima rayuan pihak pendakwaan.

Beliau kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara seminggu dan denda sebanyak RM15,000 terhadap Shahril Hisham Abdul Razak, 59.

Pada 11 Oktober tahun lalu, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman sehari selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah sebelum pihak pendakwaan mengemukakan rayuan pada 30 Oktober.

Dalam penghakimannya Zainal Azman berkata, hukuman yang dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen itu tidak mencerminkan keseriusan kesalahan yang dilakukan tertuduh.

“Meskipun perlakuan tertuduh itu tidak mengakibatkan kerugian terhadap kerajaan Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia namun rasuah tetap berlaku.

“Mahkamah seharusnya mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan individu, kesalahan rasuah ini perlu dipandang berat terutamanya yang dilakukan penjawat awam,” katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh dari Taman Bahagia, Temerloh didakwa menerima suapan sebanyak RM5,794 melalui akaun milik isterinya, Rosnahni Hussin daripada kontraktor Mohd Rozaini Mohamad Rosli pada 18 November 2016 di Malayan Banking Berhad, Jalan Bukit Ubi, Kuantan.

Kesalahan itu dilakukan ketika tertuduh bertugas sebagai Pegawai Staf 1 (Ketua Zon) di Pejabat Senggaraan Zon Timur (Pahang), Cawangan Pengurusan Fasilitas dan Urus Senggara Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan, Kem Batu 3, Temerloh.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Siti Sarah Zainal Abiddin, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nizam Hamid dan Mohd Falihin Kamil.

Zainal Azman berkata, rasuah bukanlah satu kesalahan yang dipaksa sebaliknya ia dirancang dan dipilih sendiri oleh pelakunya.

“Kesalahan rasuah ini memerlukan satu perancangan dan tertuduh menyedari apa yang dilakukan.

“Walaupun projek berkenaan siap dijalankan namun kepentingan awam perlu diambil kira lebih-lebih lagi ia dilakukan oleh penjawat awam yang berjawatan,” katanya.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan selama lima bulan jika gagal menjelaskan denda yang dikenakan terhadapnya.

Zainal Alam bagaimanapun membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan hukuman berkenaan kerana mereka akan memfailkan rayuan dalam tempoh seminggu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 1:31 PM