Keadaan kereta dipandu mangsa yang bertembung dengan ambulans di Jalan Lunas-Padang Serai, awal pagi tadi. - Foto Ihsan Pembaca, ZAMBERY.
Keadaan kereta dipandu mangsa yang bertembung dengan ambulans di Jalan Lunas-Padang Serai, awal pagi tadi. - Foto Ihsan Pembaca, ZAMBERY.
Azahar Hashim

REMAJA lelaki, Muhammad Khairul Aizat Kamarudin, 18, terbunuh selepas kereta Proton Wira dipandunya bertembung dengan sebuah ambulans Hospital Kulim di Jalan Lunas-Padang Serai berhampiran Kampung Permatang Tok Dik, jam 5.15 pagi, hari ini.

Mangsa dalam perjalanan pulang dari Kulim ke Padang Serai dipercayai selepas bersahur, manakala ambulans itu dari arah bertentangan dan setiba di tempat kejadian, kereta dipandunya dipercayai hilang kawalan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan ambulans.

Muhammad Khairul yang cedera parah di badan dan kepala, meninggal dunia di tempat kejadian manakala kakitangan hospital dalam ambulans, cedera.

Ibu mangsa, Salina Anjak Othman, 52, berkata anaknya sempat berbuka puasa bersama selepas pulang dari tempat kerjanya di kilang kawasan perindustrian Kulim.

Bagaimanapun menurutnya, anaknya itu keluar pada 9.30 malam bertemu rakan-rakan dan dia menghantar pesanan melalui WhatsApps bertanya di mana anaknya berada kira-kira 12 tengah malam.

“Dia beritahu masih bersama rakan-rakan. Kira-kira 5.50 pagi, rakannya datang ke rumah beritahu Khairul terbabit dalam kemalangan dan kami bergegas ke lokasi kejadian.

“Saya difahamkan ketika kejadian arwah dalam perjalanan pulang selepas menghantar rakannya di Taman Makmur, Lunas," katanya yang ditemui di Bilik Forensik Hospital Kulim di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar, berkata ambulans terbabit dinaiki tiga kakitangan hospital termasuk pemandu dalam perjalanan ke hospital selepas mengambil seorang mangsa kemalangan di Taman Lagenda, Padang Serai.

"Berdasarkan siasatan awal, kereta dipandu mangsa hilang kawalan, memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan ambulans," “Pemandu ambulans berusia 40 tahun luka di kaki, atendan lelaki berusia 34 tahun retak tulang belakang manakala penolong pegawai perubatan wanita berusia 25 tahun patah tulang rusuk.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2017 @ 12:31 PM