FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Pemandu kenderaan yang dikesan menghalang jentera Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di laluan kecemasan di Jalan Lunas-Padang Serai di sini, Ahad lalu disaman polis.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video berdurasi 40 saat yang tular di media sosial, semalam yang menunjukkan tindakan sebuah kenderaan yang tidak memberi laluan kepada kenderaan PBS.

Menurutnya, kejadian yang tular itu berlaku pada 5.30 petang Ahad lalu.

"Pihak yang terbabit iaitu seorang lelaki berusia 59 tahun dan mengalami masalah pendengaran itu kemudiannya dipanggil hadir ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim dan tindakan saman sudah dikenakan terhadapnya.

"Polis ingin mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya dan dinasihatkan supaya memberi laluan kepada kenderaan kecemasan seperti ambulans, polis dan bomba," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Azizul turut menyeru masyarakat untuk bersama-sama membanteras kegiatan jenayah dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah kepada mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi talian MERS 999.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 4:11 PM