Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Lelaki warga Bangladesh maut manakala dua rakannya parah selepas dihempap batu marmar di kilang proses batu marmar di Jalan Lahat, Simpang Pulai, hari ini.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, ketiga-tiga mangsa dipercayai sedang menyusun kepingan batu marmar di dalam kontena sebelum kepingan berkenaan terbalik.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Rozmi Che Hamat berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.33 petang dan sebaik tiba mendapati lelaki warga Bangladesh berusia 30-an maut selepas parah di kepala.

Katanya, dua lagi rakannya yang turut dihempap jubin berkenaan parah dan diserahkan kepada petugas perubatan sebelum dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

"Seorang daripada mangsa yang parah dipercayai patah rusuk manakala seorang lagi mengalami beberapa kecederaan lain.

"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat 6 petang," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 7:16 PM
MAYAT  mangsa dibawa keluar dari lokasi kejadian. FOTO Supian Ahmad
MAYAT mangsa dibawa keluar dari lokasi kejadian. FOTO Supian Ahmad