NOH Omar
NOH Omar
myMetro

Sungai Besar: UMNO Selangor tidak menolak kemungkinan akan wujud pihak tertentu menghasut pengundi bukan Islam pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar kononnya Kerajaan Persekutuan bakal melaksanakan hukum hudud.

Pengerusi Perhubungan negeri Datuk Seri Noh Omar berkata, UMNO akan mengadakan perjumpaan bersama MCA, MIC dan parti komponen Barisan Nasional (BN) lain dalam masa terdekat, sebelum turun padang memberi penerangan mengenai perkara itu.

Menurut beliau, pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 bertujuan meningkatkan lagi kuasa pada Mahkamah Syariah dan bukan mewujudkan undang-undang baru.

“Apa yang berlaku kini menyebabkan rakyat bukan Islam salah faham. Apabila mereka nampak Abdul Hadi (Presiden PAS) bercakap mengenai RUU di Parlimen, mereka terbayang ia adalah hudud sedangkan ia cadangan pindaan.

“Saya ada ketika Abdul Hadi membentangkan perkara itu dan ia hanya pindaan. Jadi DAP atau mana-mana pihak jangan memutar belit fakta dan menakutkan mereka yang bukan Islam,” katanya selepas majlis Perhimpunan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) peringkat Selangor di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah JPAM Datuk Ogu Salim Omar.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang berkata, Akta Mahkamah Syariah itu wajar dipinda dan perlu penambahbaikan kerana sudah tidak relevan dengan keadaan masa kini.

“Hukuman yang ada kini hanya penjara tidak lebih tiga tahun, denda tidak lebih RM5,000 serta maksimum enam kali sebatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2016 @ 10:15 AM