Mary Victoria Dass


MAYAT mangsa bot karam, Muhammad Atif Hafifi Abd Manap, 28, ditemui di perairan Pontian, Johor, 8.35 pagi ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, berkata mayat berkenaan ditemui di kawasan pesisir pantai Rimba Terjun iaitu kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kejadian.

Beliau berkata, manakala pihaknya juga masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa, Mohd Syami Hasing, 18, yang dikhuatiri lemas dalam kejadian berasingan.

"Muhammad Atif Hafifi ke laut bersama rakan dan dalam perjalanan pulang bot dinaiki mereka dipukul ombak dan terbalik.

"Mohd Syami pula dipercayai menemani bapanya ke laut. Sebenarnya terdapat empat bot nelayan yang karam dalam tiga kejadian berasingan petang semalam.

“Semua kejadian antara 2 hingga 3 petang, di perairan sama. Enam nelayan berjaya diselamatkan," katanya.

Menurutnya, 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2017 @ 2:23 PM