OPERASI pencarian diteruskan di sekitar kawasan Tambak, Pontian. FOTO iihsan Bomba
OPERASI pencarian diteruskan di sekitar kawasan Tambak, Pontian. FOTO iihsan Bomba
Izlaily Nurul Ain Hussein


OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa bot nelayan dipukul ribut dekat Pontian Kecil, Pontian, Johor yang masih hilang diteruskan hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Mohd Rizal Buang berkata, semua anggota bomba yang sentiasa berada di lokasi bersiap sedia memulakan operasi SAR seawal 7 pagi tadi.

Bagaimanapun, beliau berkata, pencarian secara permukaan dilakukan terlebih dahulu memandangkan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

"Percarian secara permukaan dilakukan kerana keadaan cuaca tidak mengizinkan dan sejak 7 pagi, anggota sudah bersiap sedia, malah kita memang berada di lokasi memandangkan aset-aset khususnya bot ditempatkan di sini," katanya.

Beliau berkata, operasi SAR pagi ini dilakukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru di sekitar kawasan Tambak, Pontian bagi mencari seorang lagi mangsa yang hilang iaitu Mohd Syami Hasing, 16.

Katanya, operasi turut membabitkan sebuah bot aluminium bersama empat anggota Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) Johor Bahru dan seorang 'boatman' SAR di lokasi bot karam.

"Sebuah lagi bot aluminium bersama tiga anggota melakukan SAR di kawasan pantai dari Tambak, Pontian ke Pontian Besar, Pontian," katanya.

Menurut beliau, keadaan cuaca ketika ini mendung dan semua bot sudah bergerak ke lokasi pencarian pada 9.15 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2017 @ 1:08 PM