SULTAN Muhammad V menyampaikan hadiah kepada Normalina, malam tadi.
SULTAN Muhammad V menyampaikan hadiah kepada Normalina, malam tadi.
Asrizal Aris


Kuala Lumpur: Qari dari Iran dan qariah negara, Hamed Alizadeh Marghzari Gholamhassan, 26, dan Normalina Alias, 34, diumumkan Johan Kategori Tilawah, Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-59 dengan masing-masing memperoleh 89.96 dan 91.52 peratus markah, malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan masing-masing membawa pulang hadiah kepingan emas bernilai RM70,000 tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), wang tunai RM40,000 dan piala iringan.

Pengisytiharan majlis penutup dan pengurniaan hadiah disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Tan Sri Othman Mustapha.

Tempat kedua dimenangi qari dan qariah dari Brunei, Awangku Muhd Adibul Amin Pengiran Marjuki yang memperoleh 89.58 peratus dan Dayang Siti Noor Dzuhairah Awang Damit dengan 86.63 peratus markah, sekali gus membawa pulang wang tunai RM30,000.

Qari negara, Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad merangkul tempat ketiga dengan markah 89.09 peratus bersama qariah dari Singapura A’tiiqah Suhaimi dengan markah 86.01 peratus menerima hadiah wang tunai RM20,000.

Dalam majlis bertemakan Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan itu seramai 56 peserta menyertai kategori Tilawah manakala 33 peserta menyertai kategori Hafazan yang mewakili 55 negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2017 @ 7:46 AM