Sultan Muhammad V menyampaikan hadiah  Juara Tilawah Al Quran kategori qariah kepada Normalina Alias dari Malaysia di Majlis Penutupan dan pengkurniakan hadiah Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke 59 Tahun 1438H/ 2017 . FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
Sultan Muhammad V menyampaikan hadiah Juara Tilawah Al Quran kategori qariah kepada Normalina Alias dari Malaysia di Majlis Penutupan dan pengkurniakan hadiah Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke 59 Tahun 1438H/ 2017 . FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
Asrizal Aris

 

[email protected]

 

QARI Iran dan qariah Malaysia diumumkan sebagai Johan Kategori Tilawah, Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-59 dengan masing-masing memperoleh 89.96 dan 91.52 peratus markah, malam ini.

Kemenangan itu membolehkan Hamed Alizadeh Marghzari Gholamhassan, 26, dan Normalina Alias, 34,  masing-masing membawa pulang hadiah kepingan emas bernilai RM70,000 tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), wang tunai RM40,000, dan piala iringan.

Pengisytiharan majlis penutup dan pengurniaan hadiah disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha.

Tempat kedua dimenangi qari dan qariah dari Brunei, Awangku Muhd Adibul Amin Pengiran Marjuki yang memperoleh 89.58 peratus dan Dayang Siti Noor Dzuhairah Awang Damit dengan 86.63 peratus markah membawa pulang wang tunai RM30,000.

Qari negara, Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad merangkul tempat ketiga dengan markah 89.09 peratus bersama qariah dari Singapura, A'tiiqah Suhaimi dengan markah 86.01 peratus menerima hadiah wang tunai RM20,000.

Sementara itu,  bagi kategori hafazan yang diperkenalkan empat tahun lalu, johan disandang hafiz dari Senegal dan hafizah dari Nigeria, Diallo Mouhamed Al Muoudjtaba dan Aishatu Musa Gale dengan 94 dan 92.76 peratus markah.

Pemenang bagi kategori hafazan membawa pulang kepingan emas bernilai RM50,000, wang tunai RM20,000, dan piala iringan.

Dalam majlis bertemakan Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan itu, seramai 56 peserta menyertai kategori Tilawah manakala 33 peserta lagi menyertai kategori Hafazan yang mewakili sebanyak 55 negara.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 10:27 PM