Wan Ainuddin dan  Siti Husna Hassan bergambar bersama piala dan hadiah masing-masing. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Wan Ainuddin dan Siti Husna Hassan bergambar bersama piala dan hadiah masing-masing. FOTO Mohd Yusni Ariffin

Kuala Lumpur: Qari Wan Ainuddin Hilmi, 32, dari Kelantan dan qariah Siti Husnaa Hassan, 23, dari Pahang dinobat johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-58, malam tadi.

Mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai berjumlah RM30,000, Proton Preve, piala pusingan serta pakej menunaikan Haji, cenderamata dan sijil penyertaan.

Hadiah disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada peserta qari manakala isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor menyampaikan hadiah kepada peserta qariah di majlis yang berlangsung di Dewan Muktamar, Pusat Islam di sini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha.

Wan Ainuddin yang memperdengarkan bacaan surah As-Sabaa bermula ayat 36 memperoleh markah 88.35 peratus manakala Siti Husnaa (ayat 34, surah An-Nisa') pula memperoleh 85.01 peratus.

Johan berkenaan akan mewakili negara dalam Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang bakal berlangsung pada 9 hingga 14 Jun depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Sementara itu, qari Abdul Khair Jalil dari Selangor muncul naib johan dengan markah 87.67 peratus manakala qari Azraei Abdul Hak dari Melaka di tempat ketiga dengan markah 87.02 peratus.

Bagi kategori qariah, peserta Sarawak, Roziah Ayup muncul naib johan dengan memperoleh markah 84.34 peratus manakala qariah Selangor, Nur Ruzana Natiah Jaafar tempat ketiga dengan 82.35 peratus.

Naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima wang tunai RM20,000 dan RM15,000 selain RM4,500 kepada penerima saguhati.

Johan keseluruhan pula diraih peserta dari Pahang yang mendapat markah sebanyak 85.51 peratus. Markah johan ini merupakan markah purata peserta qari dan qariah sesebuah negeri.

Majlis tilawah selama enam hari bermula Isnin lepas itu bertemakan 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara', menghimpunkan 28 peserta merangkumi 14 qari dan 14 qariah dari setiap negeri.

Terdahulu, Othman dalam ucapan penutup mengajak masyarakat di negara ini kembali memahami dan menghayati konsep perpaduan serta kesatuan sebagai resepi utama mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Katanya, nilai-nilai perpaduan adalah wajar dihayati sepenuhnya demi kelangsungan serta kejayaan negara.

"Kita juga perlu menghayati konsep Wasatiyyah agar menjadi umat yang saling bertolak ansur, hormat menghormati dan menjadi umat contoh," katanya. Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2015 @ 12:15 AM