DUA suspek hadapi tuduhan mendera diiringi polis ke Mahkamah Majistret Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Rahim
DUA suspek hadapi tuduhan mendera diiringi polis ke Mahkamah Majistret Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein


WANITA dan menantu lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas tuduhan mendera remaja, sejak 2010 hingga bulan ini.

Tertuduh, Noor Azaizah Badang, 56, yang juga nenek kepada mangsa serta bapa saudara mangsa, Maswandi Omar, 35, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah secara berasingan di hadapan Majistret Noor Aisyah Ahmad.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang mempunyai pemeliharaan ke atas perempuan itu sejak mangsa berusia 13 tahun hingga kini berusia 20 tahun didakwa menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dan perbuatan itu dilakukan di rumah di Jalan Padi Huma 9, Bandar Baru Uda, sejak 2010 hingga Mei 2017.

Bagi perbuatan itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali menawarkan jaminan RM20,000 terhadap setiap seorang tertuduh.

Peguam Nor Shahid Abd Malik yang mewakili Noor Azaizah memohon jumlah jaminan itu dikurangkan memandangkan anak guamnya hanya membantu rakan berniaga nasi lemak dengan pendapatan antara RM500 hingga RM600 sebulan selain perlu menanggung anak yang masih di Tingkatan 4.

"Anak guam saya juga menghidap penyakit kencing manis," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan Noor Azaizah diikat jamin RM5,000, manakala Maswandi yang tidak diwakili peguam dibenar ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Kes dietapkan untuk sebutan semula bagi pengurusan kes pada 10 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 3:17 PM