Hafizah diiringi polis ketika dihadapkan ke mahkamah atas lapan tuduhan menipu dalam penawaran RMMJ membabitkan RM41,000 di Mahkamah Majistret Johor Bahru. FOTO  Hairul Anuar Abd Rahim
Hafizah diiringi polis ketika dihadapkan ke mahkamah atas lapan tuduhan menipu dalam penawaran RMMJ membabitkan RM41,000 di Mahkamah Majistret Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
IzlailyNurul Ain Hussein


SURI rumah berusia 42 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini, atas lapan tuduhan menipu dalam penawaran Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) membabitkan RM41,000.

Tertuduh, Hafizah Ibrahim membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Noor Aisyah Ahmad.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketujuh, wanita itu didakwa memperdaya tujuh mangsa supaya memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank miliknya bagi urusan pembelian RMMJ yang mana mangsa tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.

Pendakwaan bagi perbuatan yang dilakukan di sekitar Johor Bahru pada Oktober 2016 itu dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Bagi satu lagi pertuduhan, dia didakwa mendorong seorang mangsa untuk menyerahkan sejumlah wang untuk bayaran deposit permohonan RMMJ pada 21 Februari 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan tertuduh diwakili peguam Iskandar Shah Ibrahim.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dan menetapkan 3 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2017 @ 4:36 PM