ANGGOTA penyelamat memapah seorang penumpang yang ‘tercedera’.
ANGGOTA penyelamat memapah seorang penumpang yang ‘tercedera’.
ORANG awam yang terselamat keluar dari terowong mengikut barisan.
ORANG awam yang terselamat keluar dari terowong mengikut barisan.
ANGGOTA penyelamat memasuki Terowong Berkembar Bukit Berapit ketika latihan ERP di Kuala Kangsar.
ANGGOTA penyelamat memasuki Terowong Berkembar Bukit Berapit ketika latihan ERP di Kuala Kangsar.
Muhammad Apendy Issahak


Kuala Kangsar: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan membabitkan perkhidmatan kereta apinya di Terowong Berkembar Bukit Berapit, di sini, melalui pelan tindakan kecemasan termasuk ketika berdepan insiden kemalangan, bencana alam dan serangan pengganas.

Pengurus Kanan KTMB, Raja Nahar Raja Yaacob berkata, terowong kereta api terpanjang di Asia Tenggara iaitu sejauh tiga kilometer itu mercu kebanggaan Projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar dan diberi perhatian serta pemantauan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, pihak KTMB membuat persediaan dengan melaksanakan Latihan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) di terowong berkembar terletak di Kilometer 110, di sini, bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari semalam.

Katanya, program julung kali itu dengan kerjasama Jabatan Keselamatan, Kesihatan Pekerjaan dan Persekitaran dan Pengurusan Risiko (OSHEN) KTMB serta dengan sokongan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan jabatan kerajaan kawasan Padang Rengas serta Kuala Kangsar yang terdiri daripada Pejabat Majlis Daerah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), hospital, klinik kesihatan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Latihan dijalankan itu berjaya mencapai matlamat dalam menyelaras aktiviti penyelamatan mangsa mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dalam menghadapi insiden kecemasan.

“ERP juga bagi memastikan setiap kakitangan KTMB yang berkaitan terlatih dan bersedia untuk mengendalikan sebarang kemungkinan demi keselamatan penumpang dan maklum balas semua jabatan agensi terbabit dikumpulkan untuk penambahbaikan SOP sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai ERP di Terowong Berkembar Bukit Berapit, di sini semalam.

Katanya, selain latihan dijalankan itu terowong berkembar terbabit turut mempunyai ciri keselamatan tersendiri termasuk dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan pintu kecemasan.

“Terowong kereta api berkembar ini dilengkapi pusat kawalan khas untuk memantau keadaan di persekitaran dan dalam terowong serta dilengkapi 20 CCTV.

“Di setiap 300 meter laluan terowong disediakan telefon kecemasan, selain pintu kecemasan menghubungkan kedua-dua terowong bagi membolehkan mangsa menyelamatkan diri jika berlaku sebarang insiden,” katanya.

Raja Nahar berkata, KTMB memohon kerjasama orang ramai agar tidak melakukan aktiviti yang boleh mengganggu operasi tren seperti menceroboh landasan kereta api, membiarkan haiwan ternakan masuk ke kawasan landasan dan melontar batu ke arah tren kerana tindakan itu bukan hanya membahayakan nyawa pelaku sendiri tetapi juga pengguna tren.

Senario kecemasan yang berlaku dalam latihan semalam membabitkan insiden tren Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dinaiki 53 penumpang dan petugas KTMB dari arah selatan menuju utara berhenti secara tiba-tiba ketika melalui terowong Bukit Berapit apabila bumbung dan dinding terowong runtuh.

Kejadian itu mengakibatkan dua mangsa maut membabitkan pemandu ETS dan seorang penumpang manakala 10 parah serta 15 lagi cedera dan selebihnya terselamat.

Operasi menyelamat diketuai Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, Asisten Superintendan Razak Sulaiman itu membabitkan 400 pegawai serta anggota keselamatan dari pelbagai jabatan dan agensi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 5:31 AM