KUALA LUMPUR 27 MEI 2021. TREN LRT yang terbabit dalam kemalangan itu. FOTO Ihsan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong
KUALA LUMPUR 27 MEI 2021. TREN LRT yang terbabit dalam kemalangan itu. FOTO Ihsan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Jemaah Kabinet menerima 23 cadangan penambahbaikan sistemik yang dikemukakan jawatankuasa siasatan insiden pelanggaran dua tren LRT dalam terowong pada 24 Mei lalu.

Berikutan itu, Kementerian Pengangkutan mahu pengurusan tertinggi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) untuk melihat semua cadangan berkenaan dan mengambil tindakan segera.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, cadangan dikategorikan kepada tiga jenis iaitu jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

"Kerajaan memandang serius insiden ini dan mengarahkan Kementerian Pengangkutan mengkaji dan menambah baik garis panduan dan penyelenggaraan di Prasarana dan Rapid Rail Sdn Bhd.

"Mesyuarat Kabinet pada 9 Jun menerima 23 cadangan Jawatankuasa Siasatan untuk penambahbaikan sistemik ini dan Kementerian juga akan mengaudit kemajuan penambahbaikan ini secara berkala," katanya pada sidang media secara dalam talian Laporan Jawatankuasa Siasatan bagi Insiden Pelanggaran Tren LRT Kelana Jaya pada 24 Mei lalu, hari ini.

Ka Siong berkata, jawatankuasa itu mengambil masa 14 hari untuk mengemukakan laporan serta 23 cadangan itu.

Beliau berkata, 23 cadangan itu terdiri daripada lima cadangan jangka masa pendek yang boleh dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan, 11 cadangan jangka masa sederhana (tiga hingga enam bulan) dan tujuh cadangan jangka masa panjang (lebih enam bulan).

Katanya, bagi cadangan jangka masa pendek, jawatankuasa itu mencadangkan untuk menetapkan dua hostler (pemandu) untuk mengendalikan tren secara manual dan seorang lagi sebagai pegawai keselamatan dan pematuhan.

"Ini sebagai perlindungan berganda dan boleh dilakukan tempoh singkat.

"Lampu suluh berkuasa tinggi perlu dibekalkan kepada hostler untuk memudahkan tugas mereka ketika berada dalam terowong.

"Ia berikutan ketika berada dalam terowong tidak tahu arah utara atau selatan," katanya.

Selain itu, perlu ada senarai semak untuk kegunaan dan panduan kepada pemandu serta OCC ketika mengendalikan tren secara manual; penubuhan jawatankuasa pengawasan untuk menjalankan audit terhadap tanda arah atau penanda landasan dan jawatankuasa keselamatan ditubuhkan untuk melaporkan audit keselamatan kepada pengurusan kanan Prasarana dan Rapid Rail untuk semakan dan pemantauan.

Bagi cadangan jangka masa sederhana yang dicadangkan adalah penilaian teknikal SOP dijalankan untuk menilai SOP teknikal pengendalian tren secara manual di dalam terowong bersama audit berkala; penilaian teknikal sistem komunikasi dijalankan dan mengemukakan cadangan penambahbaikan sistem yang diperlukan; meningkatkan SOP operasi digunakan di OCC dengan audit berkala; menyemak SOP berkaitan tindakan dalam situasi Normal, Degraded atau Kecemasan (Emergency); meningkatkan akauntabiliti pengurusan terhadap perkara berkaitan prosedur, SOP, Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) dan Keselamatan; meningkatkan pelan komunikasi SOP Prasarana dan Rapid Rail untuk pemahaman semua peringkat kakitangan.

Mengemaskini buku peraturan (Rule Book), Manual OCC Dan Manual Hostler; melaksanakan analisis keselamatan pekerjaan (JSA) terhadap setiap pengambilan kakitangan termasuk yang sedia ada dalam kategori 'safety critical position' untuk kecekapan dan pengetahuan; meningkatkan SOP bagi mengaktifkan dan nyah-aktif bekalan elektrik trek ketika berlakunya kecemasan atau keadaan kritikal; penilaian teknikal dan audit kesemua peralatan keselamatan dan kecemasan dan penilaian risiko dilakukan terhadap sistem komunikasi antara hostler dan OCC.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 8:43 PM