WAN Balinda (kanan) bersama Wan Noraini menunjukkan lauk asam rom di Bazar Ramadan Seksyen 13 Shah Alam
WAN Balinda (kanan) bersama Wan Noraini menunjukkan lauk asam rom di Bazar Ramadan Seksyen 13 Shah Alam
Nur Izzati Izzah Nadzi

Shah Alam: Juadah gulai asam rom yang membuka selera dan sukar didapati menjadikan ia antara kelainan di Tapak Bazarena di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, di sini, kerana keunikan ramuannya diperoleh daripada biji getah.

Pemilik Restoran Asam Rom, Wan Balinda Wan Baharudin, 35, berkata, dia memperkenalkan menu itu kerana mahu membawa tradisi turun temurun rakyat Pahang kepada warga kota terutama generasi baru.

“Ramai golongan muda kini tidak mengetahui masakan asam rom apatah lagi merasainya kerana ia berasal dari kampung dan hanya popular di negeri Tok Gajah.

“Jadi, saya membuka restoran dan pertama kali berniaga di Bazar Ramadan ini untuk memperkenalkan menu berkenaan kepada orang ramai.

“Rasa masakan asam rom yang menggunakan isi biji getah ini seperti kuah kacang bukan saja lazat, malah memecah selera jika dimakan dengan ikan atau ayam,” katanya ketika ditemui di gerainya.

Dia antara usahawan wanita tempatan yang terbabit dalam program 5by20 di bawah inisiatif Komuniti Usahawan Coca-Cola (Coca-Cola KU).

Menerusi program itu, Coca-Cola KU melaksanakan komitmen secara global untuk memperkasakan lebih lima juta usahawan wanita menjelang 2020.

Menurutnya, asam rom akan dimasak bersama ayam dan ikan terutama ikan patin dan keli.

“Ia akan dimasak dengan mengambil isi biji getah dan ditumbuk sebelum diperap dalam balang supaya tidak telus angin selama satu hari atau semalaman.

“Selepas selesai, ia seterusnya dimasak dengan ikan atau ayam,” katanya.

Katanya, Restoran Asam Rom mempunyai dua cawangan di Kerayong, Temerloh dan di Seksyen 20, di sini.

“Syukur kerana menu asam rom mendapat sambutan yang baik. Walaupun baru memulakan perniagaan ini setahun lalu, kami dapat menarik pelanggan untuk datang berkali-kali kerana keenakan dan kelainan rasa pada kelazatan kuahnya.

“Paling sedap jika kuah asam rom ini pedas kerana ia menambah selera dan pelanggan pasti akan menambah nasi jika memakannya,” katanya.

Wan Balinda berkata, latihan Coca-Cola KU sememangnya memberi peluang meluaskan lagi pemasaran perniagaannya dan mempopularkan menu asam rom kepada warga kota.

Banyak gerai makanan dan minuman di bazar yang dikendalikan oleh usahawan wanita dan sebahagian daripada mereka adalah peserta program Coca-Cola KU.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2017 @ 10:03 AM