Al-Sultan Abdullah (baris kedua tengah) dan Tunku Azizah  bersarapan dan berbual bersama orang ramai ketika mengunjungi restoran D'Wafi. FOTO Ihsan Istana
Al-Sultan Abdullah (baris kedua tengah) dan Tunku Azizah bersarapan dan berbual bersama orang ramai ketika mengunjungi restoran D'Wafi. FOTO Ihsan Istana
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


MESKIPUN sudah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang VI Sabtu lalu, ia tidak sedikitpun mengubah keperibadian Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bersama rakyatnya.

Ia dibuktikan apabila Al-Sultan Abdullah dan isteri baginda, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah masih mengunjungi restoran D’Wafi di Indera Mahkota, Kuantan sambil bersarapan dan berbual bersama orang ramai di restoran itu.

Difahamkan, baginda sering mengunjungi restoran itu untuk bersarapan sebaik selesai solat Subuh di Masjid Imam Ash Shafie, Kota SAS sejak menjadi Tengku Mahkota Pahang.

Al-Sultan Abdullah juga turut menggemari telur separuh masak dan ia seperti menu ‘wajib’ setiap kali bersarapan di restoran itu disamping beberapa hidangan lain seperti roti canai.

Kelaziman itu sekali lagi diteruskan baginda dan isteri apabila berkenan berangkat ke restoran itu sebaik selesai menunaikan solat Subuh di Masjid Imam Ash Shafie, pagi hari ini.

Baginda yang tiba di restoran berkenaan kira-kira 6.35 pagi meluangkan masa satu jam bersarapan menu kegemaran baginda iaitu telur separuh masak, nasi lemak dan roti canai.

Roti canai telur pula dilihat menjadi menu pilihan Tunku Azizah sebelum pasangan diraja itu meluangkan masa berbual dengan orang ramai di restoran itu.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah bersama isteri berangkat ke masjid berkenaan pada 6 pagi, bagi menunaikan solat sunat yang kemudian disusuli solat Subuh.

Baginda kemudian meluangkan masa beberapa minit mengaji al-Quran sebelum berangkat ke restoran D’ Wafi untuk bersarapan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 5:44 PM