Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Kurang ajar! Itu tindakan seorang pemuda berusia 22 tahun yang dikesan gemar mencuri ketika orang ramai sedang khusyuk menunaikan solat di surau atau masjid.

Terbaru jam 1.35 tengah hari kelmarin, suspek mengulangi jenayah sama apabila mencuri beg milik jemaah surau di Taman Puncak Saujana, di sini.

Bagaimanapun, suspek yang muncul menaiki motosikal tidak menyedari gelagatnya berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di surau berkenaan sebelum menjadi tular di laman sosial sejak kelmarin.

Dalam rakaman video berdurasi 48 saat berkenaan, suspek didapati memasuki pintu utama surau berkenaan dan mengambil beg milik jemaah yang sedang menunaikan solat Zuhur.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, pihaknya menerima dua laporan polis daripada mangsa yang kehilangan beg.

“Mangsa memaklumkan mereka hanya menyedari kehilangan beg selepas selesai menunaikan solat Zuhur dan mengesyaki ia dilarikan seseorang.

“Hasil maklumat diperoleh, kami menahan seorang lelaki pada jam 6 petang, semalam (kelmarin) bersama barang curi dipercayai milik mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 6:18 AM