Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) sentiasa menambah baik operasi agensi itu dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada sembilan juta pendepositnya yang berurusan di 125 cawangannya di seluruh negara.

Ketua Pegawai Operasinya Datuk Adi Azuan Abdul Ghani berkata, beberapa transformasi dilakukan TH terutama memberi fokus kepada perkhidmatan secara elektronik berbanding kaedah konvensional.

Beliau berkata, ia selari dengan perkembangan teknologi semasa dan kaedah itu diperkenalkan bagi membolehkan pendeposit melakukan transaksi tanpa ke pejabat cawangan.

“Kita bekerjasama dengan tiga bank iaitu Bank Islam, Bank Rakyat serta Maybank sebagai rakan strategik kepada TH.

“Dengan kemudahan itu membolehkan pendeposit membuat transaksi di mana-mana kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat, manakala Maybank pula hanya di mesin juruwang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM),” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Adi, hasil kerjasama kini TH sudah mempunyai lebih 6,000 touch point untuk pendepositnya melakukan transaksi di ATM dan CDM.

“Di ATM dan CDM bank terbabit, pendeposit boleh membuat transaksi pengeluaran wang tunai, simpanan tunai, pengaktifan kad ATM bank dengan akaun TH, pendaftaran haji, pindahan simpanan dan pelbagai urusan lain.

“Sejak beberapa tahun lalu, pendeposit boleh membuat pindahan wang dari akaun Maybank menerusi aplikasi Maybank2u ke akaun TH,” katanya.

Terkini, perkhidmatan TH juga boleh diakses melalui perbankan internet Bank Rakyat (iRakyat) bermula pada Disember 2016.

Adi Azuan berkata, TH menyasar menambah touch point kepada 10,000 unit dengan pembabitan dua bank lain dalam tempoh setahun akan datang.

Katanya, TH juga menambah baik dan menaik taraf perkhidmatan aplikasi mobile THiJARI kepada THiJARI 2.0 yang lebih terkini dengan salah satu kelebihannya pendeposit boleh menyemak baki simpanan dan melakukan pindahan akaun TH ke akaun TH yang lain.

Dalam pada itu, katanya, inovasi paling interaktif dilakukan TH ialah memperkenalkan sistem MyQTH yang mana pendeposit boleh mendapatkan nombor giliran dari rumah menggunakan sistem berkenaan.

“Pendeposit boleh memilih cawangan TH paling berhampiran dengan kediaman mereka dan kemudian datang ke cawangan apabila nombor giliran hampir tiba.

“Dengan cara ini mereka tidak perlu membuang masa menunggu lama untuk mendapatkan nombor giliran. Kita sudah membuat percubaan sistem ini di 50 cawangan TH dan ia berjaya,” katanya.

Katanya lagi, aplikasi itu boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Playstore dan Apple Store sekarang di mana pendeposit yang ingin berurusan di kaunter TH boleh mengambil nombor giliran atas talian dari rumah menerusi sistem berkenaan.

Beliau berkata, satu lagi penambah baik dilakukan TH ialah dengan mengadakan perkhidmatan bergerak TH melalui TH Komuniti.

Buat masa ini, TH mempunyai empat van TH Komuniti, satu di Sabah, satu di Sarawak dan dua di Semenanjung.

“Kemudahan ini membolehkan pendeposit melakukan transaksi tanpa perlu hadir ke pejabat sedia ada. Cawangan bergerak ini agak unik kerana menggunakan satelit membolehkan transaksi ataupun pendaftaran haji dilakukan secara efisien terutamanya bagi kawasan pedalaman.

“Kenderaan TH Komuniti bergerak mengikut jadual diaturkan dan menerima maklum balas positif terutama daripada pendeposit luar bandar,” katanya.

Jelasnya, penambahbaikkan seterusnya ialah penjenamaan semula pejabat TH dengan melakukan pengubahsuaian di 125 pejabat cawangan di seluruh negara.

“Pengubahsuaian ini bertujuan memberi keselesaan kepada pendeposit dan anggota di TH cawangan,” katanya.

Menurutnya, sebahagian pejabat yang kecil seperti TH di Batu Caves, TH Kajang, TH Kulai dan TH Kepala Batas akan dipindahkan ke pejabat lebih luas yang diubah suai serta dilengkapi kemudahan terkini.

Katanya, pembukaan tiga cawangan TH baru yang beroperasi tahun ini iaitu TH Jeli pada 26 Februari lalu, TH Kudat (2 Mei) dan TH Sepang pada tahun depan.

“TH Sepang dibina di atas tapak seluas tujuh hektar adalah untuk menggantikan Kompleks TH Kelana Jaya yang sentiasa padat pada musim haji.

“Pembinaannya sudah siap 80 peratus yang dilengkapi kemudahan hotel dan pusat komersial, ini menjadikan 126 pejabat cawangan TH di seluruh negara kelak,” katanya.

Sementara itu, Adi berkata, ada beberapa syarat untuk menjadi pendeposit TH iaitu individu terbabit adalah beragama Islam, warga negara Malaysia, jumlah simpanan permulaan RM2 dan mempunyai MyKad atau MyKid dan Sijil Kelahiran untuk membuka akaun simpanan.

Tambahnya, pendeposit mempunyai baki minimum RM1,300 layak membuat pendaftaran haji dan tidak pernah menunaikan fardu haji dalam tempoh lima tahun dari tahun terakhir tunai haji.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 2:49 AM