ANTARA 1,083 tong gas yang disimpan di sebuah gudang di Bukit Indah.
ANTARA 1,083 tong gas yang disimpan di sebuah gudang di Bukit Indah.
Mohd Hasbi Sidek


Sungai Buloh: Sindiket ‘sedut gas’ yang aktif mencuri gas petroleum cecair (LPG) muncul kembali susulan serbuan di sebuah gudang di Bukit Indah, di sini, semalam.

Difahamkan sindiket terbabit aktif menyedut dua kilogram gas LPG dari setiap tong LPG berkapasiti 14 kilogram sebelum dipindahkan ke tong kosong.

Tong LPG subsidi itu kemudian dijual ke pasaran tanpa pengguna menyedari beratnya berkurangan.

Difahamkan sindiket mengaut untung atas angin dan dikesan aktif sejak dua bulan lalu.

Dalam serbuan dilakukan sepasukan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bermula jam 9 malam kelmarin, sebanyak 1,083 tong gas pelbagai saiz bernilai RM121,690 dirampas.

Pengarah Penguatkuasa KPDNKK Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, operasi dijalankan bersama Pasukan Penguat kuasa Pemulihan Hasil Negara Jabatan Peguam Negara (NRRET) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pemilik premis yang juga pemborong gas menyedut kira-kira 2 kilogram gas daripada setiap tong LPG sebelum memindahkannya ke tong LPG 14kg yang kosong. Ini menyebabkan tong LPG asal hanya mempunyai isi padu 12kg sahaja.

“Pengguna yang terbeli tong LPG berkenaan tertipu kerana membayar gas pada kadar sebenar sedangkan isipadu gas tidak cukup,” katanya ketika ditemui di premis berkenaan, pagi semalam.

Beliau berkata, modus operandi itu pertama kali dikesan memandangkan sindiket sebelum ini lebih gemar menyeleweng gas subsidi ke tong gas industri bersaiz besar.

“Mereka mampu memindahkan 200 hingga 300 tong dalam masa satu malam dan dikesan mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit. Kami turut menahan empat pekerja warga asing untuk siasatan lanjut.

“KPDNKK merampas 581 tong berisi 14kg dianggarkan bernilai RM75,530, 472 tong kosong 14kg bernilai RM37,760, 30 tong gas kosong 50kg bernilai RM8,400, satu alat penimbang dan dokumen berkaitan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 5:29 AM