ANGGOTA penguat kuasa memeriksa tong gas yang dirampas dalam serbuan di Kampung Bohol.
ANGGOTA penguat kuasa memeriksa tong gas yang dirampas dalam serbuan di Kampung Bohol.

Puchong: Kegiatan satu sindiket yang menjual semula gas petroleum cecair (LPG) untuk kegunaan domestik kepada pihak industri lumpuh selepas tempat mereka beroperasi di Kampung Bohol, Bandar Kinrara, di sini diserbu, semalam.

Serbuan dilakukan sepasukan 24 penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Shah Alam dan Petaling Jaya kira-kira jam 6.30 petang.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Selangor Abdul Rosik Yaakob berkata, hasil serbuan pihaknya merampas 500 tong gas serta pelbagai peralatan memindahkan gas dengan bernilai lebih RM50,000.

Menurutnya, serbuan dilakukan selepas pihaknya melakukan risikan selama dua minggu berikutan kegiatan sindiket itu yang memproses semula gas LPG domestik ke industri secara haram.

“Sindiket itu membeli bekalan gas LPG kegunaan domestik di pasaran sebelum dibawa ke tempat simpanannya untuk dikumpul dan kandungannya dipindahkan ke tong industri seberat 50 kilogram (kg) dengan menggunakan kaedah tradisional.

“Mereka akan memindahkan gas di dalam tong kecil seberat 14kg menggunakan air batu serta air panas. Satu tong gas industri memerlukan empat tong gas domestik.

“Kemudian gas LPG subsidi itu dijual kepada pihak industri di sekitar Lembah Klang dan Shah Alam bagi mengaut untung berlipat ganda di mana mereka menjual dengan harga lebih murah iaitu sekitar RM250 satu tong,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu semalam.

Abdul Rosik berkata, pihaknya juga menyita premis itu untuk siasatan lanjut dan empat lelaki dipercayai pekerja berusia 20 hingga 30-an turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Bagi tempoh dua bulan sahaja, ini kali keempat kita melakukan operasi sama membabitkan rampasan sebanyak 2,000 tong,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau penjara tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Disember 2014 @ 8:33 AM