SEBAHAGIAN daripada 195 tong gas yang dijumpai di rumah suspek.
SEBAHAGIAN daripada 195 tong gas yang dijumpai di rumah suspek.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Tindakan tamak sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) mencuri sebelum menjual LPG subsidi semula kepada pengguna dikesan antara punca kos sara hidup rakyat meningkat.

Penipuan dilakukan sindiket itu dikesan semakin menjadi-jadi apabila mereka tidak lagi menjadikan pihak industri sebagai sasaran kegiatan penjualan LPG subsidi.

Ketua Penolong Pengarah Seksyen Bekalan, Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya, Abdul Halim Pakri berkata, siasatan pihaknya mendapati sindiket kini lebih berminat mencuri kandungan LPG dari tong subsidi sebelum dipindahkan ke tong LPG yang mempunyai berat sama.

“Sebagai contoh, sindiket akan menyedut keluar antara 2 kilogram (kg) hingga 5kg gas tong LPG subsidi seberat 14kg sebelum dipindahkan ke tong LPG subsidi yang mempunyai berat sama.

“Tong LPG ini yang mempunyai berat berkurangan kemudian diedarkan ke pasaran dan pengguna akhirnya menjadi mangsa apabila ditipu. Tong gas memasak digunakan akan habis dengan cepat dan mereka terpaksa mengeluarkan belanja lebih membeli tong gas baru,” katanya.

Dia berkata, berdasarkan mesyuarat diadakan semalam, pihaknya sudah mengarahkan semua KPDNKK di setiap negeri menggiatkan operasi Ops Gasak bagi mengesan aktiviti penipuan ini.

“Risikan mendapati modus operandi kali ini berbeza apabila sindiket bukan memindahkan gas LPG dari tong subsidi ke silinder industri, tetapi mencuri LPG subsidi untuk dijual semula kepada pengguna.

“Sebarang bentuk pemindahan adalah tidak dibenarkan dilakukan oleh pemegang permit menyimpan barang kawalan. Ia hanya dibenarkan dilakukan di kilang pembekal yang mempunyai lesen sahaja.

“KPDNKK akan meneruskan pemantauan dan risikan bagi mengesan individu atau sindiket yang melakukan penyelewengan terhadap bahan bersubsidi,” katanya.

Menurutnya, KPDNKK serius menangani masalah ini berikutan ia boleh menyusahkan pengguna sekaligus menjadi punca kenaikan kos sara hidup jika tidak dibendung segera.

“Kita harap orang ramai mempunyai maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan tampil membuat aduan di cawangan KPDNKK terdekat atau melalui talian bebas tol 1 800 886 800 dan menerusi laman web kami di http://e-aduan.kpdnkk.gov.my dalam usaha membanteras kegiatan penyelewengan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2016 @ 6:26 AM