MUHAMMAD Amirul Aiman yang memperoleh PNGK 4.0 meraikannya dengan ibunya, Muniah serta gurunya..
MUHAMMAD Amirul Aiman yang memperoleh PNGK 4.0 meraikannya dengan ibunya, Muniah serta gurunya..
Mohamad Fahd Rahmat

Batu Pahat: Walaupun hidup dalam serba kekurangan dan dibesarkan oleh nenek, ia tidak menghalang semangat seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Batu Pahat untuk berjaya dan buktinya, Muhammad Amirul Aiman Pancharin, 20, memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 pada peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2016 yang diumumkan semalam.

Muhammad Amirul Aiman berkata, ibu bapanya berpisah ketika dia berusia dua tahun dan lebih menyedihkan, abangnya kini kurang siuman selepas terbabit dalam kemalangan beberapa tahun lalu.

“Hidup saya serba kekurangan sejak kecil. Apabila ayah berpisah dengan ibu, saya dijaga nenek, Minah Lamat yang berumur 78 tahun dan nenek membesarkan saya dan kakak yang berumur 29 tahun.

“Bagaimanapun, saya tidak putus asa dan mencontohi semangat pencipta mentol, Thomas Edison untuk berjaya. Ibu, Muniah Sahid yang berusia 53 tahun menghidap barah perut dan ia menguatkan azam saya untuk berjaya bagi mengubah nasib keluarga,” katanya ketika ditemui di kediaman neneknya di Parit Terus, Senggarang, Batu Pahat.

Muhammad Amirul Aiman berkata, antara petua kejayaannya ialah mengamalkan surah al-Waqiah pada setiap hari ketika pergi dan balik sekolah selain belajar berkumpulan.

“Saya juga mengamalkan iktikaf selain menggunakan kuasa minda dengan membayangkan kejayaan yang diingini serta banyakkan bersedekah,” katanya yang bercita-cita menjadi kaunselor dan menyambung pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sementara itu, Pengetua SMK Tinggi Batu Pahat Kuswandi Tayen berkata, pihaknya bersyukur dan bangga kerana sekolah berkenaan dinobat sebagai sekolah terbaik pencapaian STPM 2016 negeri ini dengan pencapaian PNGK 3.20 selain tujuh pelajarnya mendapat empat A.

“Muhammad Amirul Aiman ialah seorang daripada pelajar sekolah ini yang wajar dijadikan contoh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 9:52 AM