PUTERA Mahkota Mohammed Salman. FOTO fail EPA
PUTERA Mahkota Mohammed Salman. FOTO fail EPA
Reuters

Riyadh: Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz memilih dua puteranya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan negara itu.

Raja Salman bertitah, baginda menamakan puteranya yang juga Putera Mahkota Mohammed Salman sebagai perdana menteri kerajaan dan putera keduanya, Putera Khalid sebagai menteri pertahanan.

Titah baginda, rombakan itu turut mengekalkan seorang lagi anak lelakinya, Putera Abdulaziz Salman sebagai menteri tenaga, lapor agensi berita negara SPA.

Titah berkenaan turut menunjukkan Menteri Luar Putera Faisal Farhan Al Saud, Menteri Kewangan Mohammed al-Jadaan dan Menteri Pelaburan Khalid al-Falih kekal dengan jawatan mereka.

Putera mahkota, dikenali sebagai MBS dinaikkan pangkat daripada menteri pertahanan dan menjadi pemerintah de facto Arab Saudi iaitu negara pengeksport minyak terbesar dunia dan sekutu utama Amerika Syarikat (AS) di Timur Tengah.

Pegawai Arab Saudi berkata, peranan baharunya sebagai perdana menteri adalah selaras dengan delegasi tugas raja sebelum ini, termasuk mewakili kerajaan dalam lawatan asing dan mempengerusikan sidang kemuncak yang dianjurkan kerajaan.

"Berdasarkan titah raja, Putera Mahkota sudah menyelia badan eksekutif utama negeri setiap hari dan peranan baharunya sebagai perdana menteri adalah dalam konteks itu.

"Mengikut sejarah, delegasi tugas seperti itu sudah berlaku dalam kerajaan beberapa kali," kata pegawai itu yang enggan dikenali.

Adik MBS, Putera Khalid Salman pula sebelum ini berkhidmat sebagai timbalan menteri pertahanan.

Lapor SPA, Putera Mahkota berkata, kerajaan meningkatkan sara diri dalam industri ketenteraan daripada dua peratus kepada 15 peratus, dan merancang untuk mencapai 50 peratus di bawah menteri pertahanan yang baharu dilantik.

Raja Salman tetap akan mempengerusikan mesyuarat kabinet yang dihadirinya.

Selepas titah itu dibuat, televisyen negeri menunjukkan raja mempengerusikan mesyuarat mingguan kabinet.

Raja berusia 86 tahun itu, penjaga kota suci Islam menjadi pemerintah pada 2015 selepas menghabiskan lebih dua setengah tahun sebagai putera mahkota.

Baginda dimasukkan ke hospital beberapa kali sejak dua tahun lalu kerana pelbagai penyakit.

Mohammed mengubah Arab Saudi secara radikal sejak berkuasa pada 2017 termasuk mengetuai usaha untuk mempelbagaikan ekonomi daripada bergantung sumber minyak kepada membolehkan wanita memandu dan mengekang kuasa ulama.

Pembaharuan beliau, bagaimanapun, datang dengan tindakan keras terhadap perbezaan pendapat dengan aktivis, kerabat diraja, aktivis hak wanita dan ahli perniagaan dipenjarakan.

Pembunuhan wartawan, Jamal Khashoggi di konsulat kerajaan di Istanbul pada 2018 mencemarkan reputasinya dan merenggangkan hubungan kerajaan dengan AS dan sekutu Barat yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 10:00 AM