RAJA Salman meninggalkan hospital semalam. FOTO Agensi
RAJA Salman meninggalkan hospital semalam. FOTO Agensi
AFP

Riyadh: Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud, dibenarkan pulang selepas 10 hari dirawat di hospital kerana pembedahan membuang hempedu, menurut pengesahan pihak berkuasa Arab Saudi.

"Penjaga dua kota suci, Raja Salman keluar hospital selepas Tuhan memberkatinya dengan kesihatan dan kesembuhan," kata media tempatan

Kementerian Luar Arab Saudi turut memuat naik sebuah video menunjukkan Raja Salman berjalan meninggalkan hospital dengan bertongkat serta diiringi Putera Mahkota Mohammed Salman.

Baginda dilaporkan menjalani pembedahan laparaskopik bagi membuang hempedu di hospital pakar Raja Faisal di Riyadh.

Kerajaan Arab Saudi jarang berkongsi keadaan kesihatan baginda yang memerintah negara pengeluar minyak utama itu dan kuasa ekonomi terbesar dunia Arab sejak 2015.

Bagaimanapun, kemasukan baginda ke hospital menyebabkan Perdana Menteri Iraq Mustafa al-Kadhemi menangguhkan lawatannya ke Arab Saudi.

Sebuah video dikeluarkan media tempatan selepas pengumuman menunjukkan baginda mempengerusikan mesyuarat kabinet secara maya dari hospital.

Raja Salman adalah anggota Diraja kedua dari negara Teluk yang dimasukkan ke hospital di tengah-tengah krisis Covid-19 serta penurunan harga minyak mentah dunia selepas pemerintah Kuwait, Sheikh Sabah Al Ahmad Al Sabah yang berusia 91 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2020 @ 11:53 AM