PEMENANG bersama trofi dan sijil masing-masing pada Majlis Hafazan dan Tilawah al-Quran peringkat Wilayah Persekutuan.
PEMENANG bersama trofi dan sijil masing-masing pada Majlis Hafazan dan Tilawah al-Quran peringkat Wilayah Persekutuan.
Ardyhansah Amat

Kuala Lumpur: Seramai 102,000 penghafaz al-Quran bakal dilahirkan di seluruh negara menjelang tahun 2050.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, selaras dengan Dasar Tahfiz Negara 2050, kerajaan berhasrat menjadikan golongan penghafaz al-Quran bukan saja terbabit dalam bidang pengajian agama, malah mampu menjadi tenaga kerja profesional.

“Ini kerana golongan berkenaan bakal mengisi pelbagai sektor tenaga mahir yang membantu membangunkan negara pada masa akan datang.

“Ia membuktikan kerajaan komited dalam menerajui agenda pembangunan Islam di negara ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Hafazan dan Tilawah Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan 2017, di sini, malam kelmarin.

Beliau berkata, kerajaan menerusi agensi berkaitan bukan saja merangka pelbagai dasar dan program keagamaan, malah memberi sokongan dalam bentuk kewangan bagi menjayakan program berkenaan.

“Tahun lalu saja, kerajaan memperuntukkan RM970 juta bagi pembangunan sistem pendidikan Islam.

“Justeru, saya berharap usaha ini mencapai kejayaan dalam menghasilkan lebih ramai huffaz (penghafaz) berkemahiran di negara kita,” katanya.

Terdahulu, beliau menjelaskan tilawah dan hafazan al-Quran menjadi tradisi negara sebagai memartabatkan syiar Islam.

Sementara itu, Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad menjuarai kategori tilawah al-Quran kategori Qari, manakala Noor Suhaiza Chulan mengungguli kategori Qariah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2017 @ 5:41 AM