ANTARA peserta yang menghabiskan bacaan ayat suci al-Quran pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-59.
ANTARA peserta yang menghabiskan bacaan ayat suci al-Quran pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-59.

Putrajaya: Sistem pemarkahan berkualiti bagi melahirkan qari dan qariah cemerlang menjadi asas utama penentuan malam akhir Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-59, malam ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha berkata, kaedah permarkahan tilawah ini berdasarkan skima pemarkahan berkualiti bagi menjamin mutu penghakiman supaya menghasilkan keputusan adil kepada semua qari dan qariah.

“Jemaah hakim hanya mendengar suara melalui alat bantuan dengar tanpa melihat wajah peserta. Mereka hanya melihat ayat yang dibaca peserta di skrin komputer.

“Kaedah ini menjadi contoh kepada beberapa negara Islam lain. Mereka mengkaji aspek asas daripada kaedah pemarkahan yang kita laksanakan dan menyesuaikan dengan kaedah mereka sendiri,” katanya ketika dihubungi.

Othman yang juga Pengerusi Jemaah Hakim tilawah al-Quran kali ini berkata, pemilihan pemenang dikira berdasarkan empat bidang iaitu Tajwid (40peratus), Taranum (25 peratus), Fasahah (20 peratus) dan Suara (15 peratus).

“Semua bidang ini perlu mempunyai ‘lajah’ Arab (dialek bahasa Arab) kerana al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2016 @ 9:34 AM