MUHAMMAD Qayyim dan Wan Sofea akan mewakili Kelantan ke pertandingan peringkat kebangsaan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
MUHAMMAD Qayyim dan Wan Sofea akan mewakili Kelantan ke pertandingan peringkat kebangsaan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Hazira Ahmad Zaidi


PEMUDA ini hanya membaca al-Quran Braille berikutan cacat penglihatan, namun sudah tiga kali dinobat johan qari Kelantan.

Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, 22, menjadi johan qari ketika Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Kelantan pada 2017, 2019 dan terbaharu, semalam.

Penuntut Diploma Tahfiz Al-Quran di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri itu diisytihar qari terbaik pada majlis yang disempurnakan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob di Kompleks Islam Darulnaim, Kota Bharu.

Katanya, dia sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya celikkan hatinya untuk terus belajar dan membaca al-Quran kerana mahu menjadi sehebat idolanya iaitu qari dari Mesir, Mustafa Ismail atau lebih dikenali ‘King Of Qurra’.

“Walaupun belajar al-Quran Braille, ia bukan penghalang untuk saya mempelajari kitab suci ini secara lebih mendalam dan menyertai pelbagai pertandingan tilawah sejak berusia 12 tahun.

“Bagi saya, tiada beza jika individu itu normal ataupun OKU kerana selagi ada kesungguhan dan terus istiqamah untuk membaca al-Quran, pasti lebih mudah untuk menguasainya (al-Quran).

“Untuk memantapkan lagi bacaan, saya mendapat bimbingan tiga bekas johan qari Majlis Tilawah Al-Quran iaitu Ustaz Fauzi Awang, Ustaz Abdul Rahim Ahmad dan Ustaz Yahya Daud,” katanya.

Pada majlis itu, tenaga pengajar taranum Al-Quran, Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi, 26, dinobatkan johan qariah.

Kedua-dua mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, pakej umrah, plak dan sijil penyertaan.

Mereka juga akan mewakili Kelantan ke Majlis Tilawah al-Quran Kebangsaan yang dijadualkan pada 13 hingga 21 Februari ini.

Sementara itu, Wan Sofea Aini berkata, dia menyertai pertandingan itu sejak 2015 dan kemenangan semalam adalah yang kedua diraihnya selepas 2016.

“Semua peserta yang menyertai pertandingan ini mempunyai kehebatan tersendiri dan saingan cukup sengit.

“Saya sendiri tidak sangka menjadi johan. Pertandingan ini menjadi landasan untuk saya menambah lebih banyak ilmu selain memperbaiki mutu bacaan.

“Insya-Allah saya akan melakukan yang terbaik di peringkat kebangsaan nanti,” katanya yang sarat mengandung anak sulung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 2:44 PM