AHMAD Shabery bersama pengunjung  pada program Jelajah MAHA 2016 di Putrajaya.
AHMAD Shabery bersama pengunjung pada program Jelajah MAHA 2016 di Putrajaya.
Mohamad Hussin

Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2016 (MAHA 2016) bakal menemui orang ramai di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) selama 11 hari mulai Khamis ini.

MAHA 2016 anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bertemakan Makanan Kita, Masa Depan Kita atau #OurFoodOurFuture.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, MAHA adalah pameran pertanian tertua, terbesar dan unik di Malaysia. Bermula pada 1923 sebagai pertandingan dan pertunjukan pertanian semata-mata, kini MAHA berubah menjadi acara besar.

Beliau berkata, MAEPS kawasan yang luas iaitu 125 hektar dan bertepatan menjadi lokasi pameran pertanian terulung itu.

“Di dalam dewan, ruang pameran MAHA 2016 seluas lebih 40,000 meter persegi atau kira-kira enam kali ganda keluasan padang bola. Pameran dalaman ini dibahagikan kepada lima kluster pameran berbeza.

“Ia membabitkan AgroTourism, AgroIT, AgroTrade, AgroLifestyle dan AgroYouth. Di luar dewan, pengunjung boleh menikmati sendiri pengalaman pertanian secara ‘hands-on’ di tujuh laman.

“Antaranya Laman Padi, Laman Ternakan, Laman Perikanan, Laman Nanas, Laman Herba dan Sayur serta Laman Florikultur dan Laman Jentera.

“Jumlah keluasan semua laman ini ialah 240,000 meter persegi, iaitu sama luasnya dengan 35 padang bola,” katanya pada sidang media khas di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kuala Lumpur.

Ahmad Shabery berkata, di MAHA juga terdapat 14 pavilion negeri yang masing-masing mempunyai reka bentuk unik. Rumah negeri menampilkan identiti, kebudayaan, pameran dan makanan masing-masing yang boleh dinikmati pengunjung.

“Satu lagi tarikan yang sentiasa popular dalam kalangan pengunjung ialah jualan bahan pertanian dan makanan, antaranya 100 menu juadah popular dari 14 negeri.

“Produk industri asas tani (IAT) seperti bakeri dan kuih-muih, makanan dalam tin, makanan yang diproses, jus, produk herba, makanan tambahan dan sebagainya.

“Turut dijual buah-buahan, sayur-sayuran dan bunga-bungaan, ikan dan makanan laut segar, daging, ayam dan tenusu,” katanya.

Menurutnya, produk istimewa seperti sarang burung walit, rumpai laut dan madu selain benih, anak pokok, input, perkakasan, teknologi dan jentera pertanian juga disediakan.

“MOA turut menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti khidmat perundingan pertanian, khidmat makmal Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) teknologi yang sedia dikomersialkan.

“Kita akan perkenalkan beberapa tarikan baru tahun ini. Kita sasarkan segmen untuk kanak-kanak iaitu Kampung Durian Runtuh Upin dan Ipin manakala untuk orang muda dan belia diadakan tapak perkhemahan serta pesta muzik Rhythm of the Farmers.

“Manakala segmen untuk orang dewasa dan usahawan kecil pula kita adakan Kampung Mok Cun yang membabitkan selebriti siri berkenaan,” katanya.

Menurutnya, MOA gembira kerana sambutan pelbagai pihak terhadap MAHA 2016 setakat ini menggalakkan apabila lebih 1,500 gerai jualan dan pameran yang dibuka untuk disewa sudah habis ditempah.

“Gerai ini antara tarikan utama MAHA saban tahun. Antaranya ia menjual hasil pertanian segar, hidangan popular dari setiap negeri, buah-buahan tempatan dan eksotik, serta produk IAT.

“MAHA 2016 dijangka menarik lebih 3.5 juta pengunjung tempatan dan antarabangsa selain menjana pulangan jualan RM200 juta hasil daripada aktiviti dagangan dan pemadanan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, selain pengusaha dan peniaga tempatan, MAHA juga menarik minat syarikat daripada hampir 20 negara untuk menyertainya.

“Ia termasuk dari Fiji, Korea, Afrika Selatan, India, Sri Lanka, Ecuador, Pakistan, Bangladesh, Algeria, Australia, Iran, Sepanyol, Kanada, China, Thailand, Vietnam, Jepun dan Tunisia,” katanya.

Pertanyaan lanjut boleh hubungi Sekretariat MAHA 2016 di talian 03-89382494 atau laman Facebook MAHA - Malaysia Agriculture, Horticulture & Agrotourism,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 5:53 AM