AHMAD Shabery meninjau bekalan cili merah yang diusahakan PPK Kuala Langat.
AHMAD Shabery meninjau bekalan cili merah yang diusahakan PPK Kuala Langat.
Oleh Mohamad Hussin


Langkah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) mewujudkan Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (PPHP) bagi membantu peladang menyelesaikan masalah pemasaran hasil pertanian pada harga berpatutan.

PPHP menyediakan perkhidmatan kutipan hasil pertanian terus dari ladang atau kampung untuk dipasarkan.

Ia ditubuhkan sebagai pusat tambah nilai hasil pertanian melalui proses penggredan yang akan memberi keuntungan kepada pengeluar dan petani.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) melalui LPP memperuntukkan RM20 juta untuk mewujudkan 201 PPHP di seluruh negara.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, PPHP juga berfungsi sebagai tempat pertemuan di antara pengeluar dan pembeli bagi memudahkan urusan penetapan harga belian.

Beliau berkata, ia membantu peladang memasar dan menjual sendiri produk mereka secara terus kepada pengguna seterusnya meningkatkan keuntungan peladang atau pengeluar.

“Secara tidak langsung, ia akan membantu mengurang­kan pembabitan orang tengah yang menguasai 10 hingga 30 peratus pulangan ke atas setiap ringgit,” katanya ketika berucap merasmikan PPHP Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat, Banting, Selangor, baru-baru ini.

Hadir sama Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Selangor Datuk Seri Noh Omar, Ketua Pengarah LPP Datuk Mohd Salim Taha, Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Tan Sri Badruddin Amiruldin dan Pengerusi PPK Kuala Langat Ab Razak Khasbollah.

Ahmad Shabery berkata, PPHP Kuala Langat banyak memberi kebaikan kepada petani, antaranya memberi tumpuan kepada aspek pengeluaran termasuk kaedah meningkatkan kuantiti dan kualiti hasil pertanian.

Katanya, petani berjaya menjimatkan 30 peratus daripada masa mereka untuk penjualan hasil dan hanya menumpukan kepada penjagaan kebun.

“Mereka juga (PPHP Kuala Langat) dapat menstabilkan harga pasaran dengan mengurangkan monopoli orang tengah kerana harga yang ditawarkan 15 peratus lebih tinggi berbanding orang tengah.

“Selain itu, mereka berjaya membekal kepada pasaran yang lebih besar seperti pasar raya besar dengan harga yang berterusan pada setiap masa.

“PPK Kuala Langat dapat mewujudkan usahawan muda di bawah usia 40 tahun yang menyumbang kepada PPHP dari pelbagai latar belakang,” katanya.

Menurutnya, usahawan baru mendapat khidmat teknikal daripada usahawan senior untuk membimbing mereka menjalankan projek.

Sementara itu, beliau berkata, MOA boleh memainkan peranan bagi memastikan sektor agro makanan adalah sumber penting pendapatan negara.

“Kita perlu memperkukuhkan dasar eksport pertanian dan berusaha untuk meningkatkan eksport serta mengawal import supaya imbangan dagangan yang kini pada defisit RM17 bilion setahun akan bertambah baik.

“Pada dasarnya, MOA lebih menumpukan kepada aspek pengeluaran dalam dasar. Memang benar pengeluaran perlu ditingkatkan supaya kita mempunyai bekalan yang cukup untuk dieksport.

“Tahap kecekapan juga perlu kita pantau, contohnya mengurangkan kehilangan lepas tuai yang boleh menggugat bekalan,” katanya.

Ahmad Shabery berkata, pada masa sama, MOA juga perlu membantu pengusaha menjadikan produk mereka lebih berdaya saing di peringkat global seperti bantuan dari segi logistik, pengangkutan dan pengedaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2016 @ 5:00 AM