ANGGOTA PERHILITAN memindahkan Awang Sembok 2 di Kampung Chepor ke habitatnya di Hutan Belum, Gerik.
ANGGOTA PERHILITAN memindahkan Awang Sembok 2 di Kampung Chepor ke habitatnya di Hutan Belum, Gerik.
D J Dolasoh


Lenggong: Seramai 21 anggota Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mengambil masa hampir 10 jam bagi memindahkan seekor gajah liar yang ditangkap di Kampung Chepor, di sini kerana merosakkan tanaman dan mengancam nyawa penduduk.

Gajah jantan dewasa berusia 30 tahun itu yang diberi nama Awang Sembok 2 berjaya dipindahkan ke Hutan Royal Belum, Gerik, dekat sini, jam 7 malam.

Pengarah PERHILITAN Perak, Loo Kean Seong berkata, gajah induk berkenaan ditangkap pada 2 Februari lalu selepas merosakkan tanaman penduduk bersama beberapa gajah liar lain yang masih bebas.

Menurutnya, proses pemindahan mengambil masa lama kerana gajah berkenaan bertindak agresif sehingga memaksa ia ditembak dua kali dengan ubat pelali bagi menenangkannya selain faktor lokasi gangguan gajah liar lain di sekitarnya.

“Seramai 21 anggota kami menjinakkan gajah itu dengan menggunakan dua gajah denak dari Kuala Gandah, Pahang dan kerja pemindahan berakhir kira-kira jam 7 malam dengan mengambil masa lama bagi memastikan urusan berjalan lancar.

“Kami juga mengesan ada empat lagi gajah liar di sekitar kampung berkenaan dan anggota kami akan memantau supaya ia tidak mengganggu penduduk,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Loo berkata, pihaknya tidak bercadang menangkap semua gajah itu kerana setiap seekor gajah memerlukan kos antara RM40,000 hingga RM50,000 untuk dipindahkan kecuali gajah lain itu agresif serta membahayakan penduduk.

Menurutnya, Awang Sembok 2 dipercayai terpisah daripada kumpulan habitatnya di Hutan Piah, terletak antara Lenggong dan Sungai Siput serta kerap masuk ke kawasan penduduk.

“Saya menasihati penduduk tidak bertindak sendirian apabila terserempak gajah liar, sebaliknya segera melaporkan kepada kami bagi mengelakkan sebarang perkara buruk berlaku.

“Penduduk juga disarankan membuat alternatif lain seperti membuat pagar elektrik secara berkelompok di kawasan tanaman mereka supaya ia tidak dimakan atau dimusnahkan gajah liar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Chepor, Tamizi Ghazali berkata, pada malam sebelum usaha memindahkan Awang Sembok 2 dilakukan, penduduk terkejut apabila seekor gajah liar lain bertempik membuat bising di sekitar kawasan gajah jantan itu ditambat seolah-olah mahu melepaskannya.

Katanya, kejadian selama kira-kira 30 minit itu berlaku dalam jarak 150 meter dari rumah penduduk menyebabkan penghuninya tidak dapat tidur, namun tiada sebarang kejadian buruk berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2017 @ 6:43 AM