Tanaman penduduk yang dirosakkan gajah liar. Gambar seekor gajah liar yang sempat dirakam. FOTO ihsan PERHILITAN
Tanaman penduduk yang dirosakkan gajah liar. Gambar seekor gajah liar yang sempat dirakam. FOTO ihsan PERHILITAN
Muhamad Izzat Nasuruden


Lenggong: Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak berjaya menangkap seekor gajah liar yang masuk ke kawasan perkampungan Kampung Chepor, di sini, semalam.

Pengarah PERHILITAN Perak Loo Kean Seong berkata, operasi penangkapan dijalankan selepas menerima aduan daripada penduduk kampung jam 10 pagi semalam.

Katanya, berdasarkan aduan, terdapat tiga gajah liar yang memasuki kawasan perkampungan itu.

"Operasi penangkapan dilakukan 10 anggota PERHILITAN dan kita berjaya menangkap seekor.

"Haiwan berkenaan bertindak agresif. Kita menghalau dua lagi gajah yang gagal ditangkap ke dalam hutan bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Loo berkata, gajah jantan yang berjaya ditangkap itu dibawa ke kawasan hutan simpan yang sesuai dan jauh dari penempatan orang awam.

Katanya, PERHILITAN sentiasa memantau pergerakan gajah liar di kawasan penempatan orang awam dan akan bertindak segera sekiranya ia mengancam keselamatan penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 3:25 PM