PERHILITAN menjalankan operasi memindahkan seekor gajah liar dengan menggunakan khidmat dua gajah denak. FOTO Mohamad Hairi Azmi Tham
PERHILITAN menjalankan operasi memindahkan seekor gajah liar dengan menggunakan khidmat dua gajah denak. FOTO Mohamad Hairi Azmi Tham
Oleh Mohamad Hairi Azmi Tham


Lenggong: Seekor gajah liar yang mengancam keselamatan penduduk Kampung Chepor, Lenggong berjaya ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak dan akan dipindahkan ke habitat baru hari ini.

Gajah jantan dewasa itu, adalah seekor daripada kumpulan gajah sebanyak tujuh hingga lapan ekor yang mula dilihat di kampung berkenaan sejak dua minggu lalu.

Pegawai dan anggota PERHILITAN Perak, melalui Unit Tangkapan Gajah berjaya menangkap gajah yang dianggarkan berusia kira-kira 20 tahun serta berat melebihi 1,500 kilogram itu pada Ahad lalu.

Usaha memindahkan gajah berkenaan bermula kira-kira 12 tengah hari tadi dengan dibantu dua gajah denak yang didatangkan khas dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang.

Difahamkan gajah liar berkenaan akan dipindahkan ke habitat baru di kawasan Hutan Simpan Royal Belum, di Gerik dekat sini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 2:59 PM