GABUNGAN Pemandu Lori membuat bantahan terhadap syarikat pengangkutan terbabit.
GABUNGAN Pemandu Lori membuat bantahan terhadap syarikat pengangkutan terbabit.
Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

Kuala Lumpur: Gabungan Pemandu Lori meminta campur tangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menyelesaikan ketidakpuasan hati caruman yang dibuat majikan mereka.

Penasihatnya, Mohana Rani Rasiah berkata, kebanyakan caruman pemandu lori tidak dibayar mengikut syarat ditetapkan oleh KWSP.

Menurutnya, mengikut syarat ditetapkan, caruman dikira berasaskan jumlah upah pekerja termasuk bonus, komisen atau elaun tetapi tidak termasuk elaun perjalanan dan bayaran kerja lebih masa.

Bagaimanapun, katanya, ada majikan yang mahu menjimatkan bayaran caruman KWSP dengan mengklasifikasikan komisen sebagai elaun perjalanan dan kerja lebih masa yang tidak boleh dikira sebagai caruman KWSP.

“Majikan hanya membayar caruman berdasarkan gaji asas yang kecil, sekali gus menjejaskan simpanan KWSP pemandu lori.

“Kami sudah membuat aduan kepada majikan tetapi tiada tindakan selanjutnya diambil dan membuat keputusan untuk meminta nasihat serta campur tangan KWSP mengenai masalah ini,” katanya ketika menyerahkan memorandum kepada KWSP di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Penguatkuasaan KWSP Hardial S Dhillon berkata, dalam pertemuan itu, persatuan terbabit membuat aduan mengenai beberapa elaun yang tidak ditolak sebagai bayaran KWSP.

Katanya, KWSP akan menyiasat aduan, berjumpa majikan terbabit, memeriksa rekod bayaran mereka dan sekiranya benar seperti yang didakwa, majikan akan diarahkan menyelesaikan isu caruman ini.

“Mereka akan berjumpa kami semula minggu depan untuk menyerahkan dokumen yang membuktikan dakwaan mereka.

“Hari ini (semalam), mereka datang tanpa sebarang bukti dan sukar untuk kami meneruskan siasatan. Kami bukan menyiasat persatuan tetapi majikan yang terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2017 @ 8:47 AM