BADUT tidak melepaskan peluang menghiburkan orang ramai.
BADUT tidak melepaskan peluang menghiburkan orang ramai.
ORANG ramai melihat persembahan  kumpulan buskers.
ORANG ramai melihat persembahan kumpulan buskers.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jika sebut saja Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), di sini, pasti membayangkan kawasan syurga membeli-belah pelbagai barangan terutama tudung dan kain pasang.

Namun, sedar atau tidak kawasan terbabit turut terdapat lokasi yang dijadikan sebagai ‘port’ bersantai sambil mendengar pemuzik jalanan atau ‘buskers’.

Terletak berhampiran pelbagai kemudahan pengangkutan, lokasi yang popular dengan gelaran Tangga Sogo itu sering dipenuhi orang ramai terutama pada hujung minggu kerana ia turut menjadi tempat persinggahan orang ramai.

Menurut seorang pemuzik jalanan yang dikenali sebagai Roy berusia 40 tahun, kawasan terbabit popular sejak 10 tahun lalu apabila orang ramai bersantai di tangga pusat beli-belah berkenaan selepas penat berjalan.

Melihat kawasan berkenaan sering dipenuhi orang ramai menyebabkan seniman jalanan seperti pelukis, penyanyi dan kumpulan buskers mengambil inisiatif melakukan persembahan untuk menghiburkan mereka.

“Menerusi persembahan itu, kami memperoleh pendapatan sampingan, malah orang ramai yang melepak di kawasan terbabit juga terhibur selepas penat membeli-belah,” katanya yang sering membuat persembahan nyanyian
di kawasan terbabit sejak lima tahun lalu.

Sementara itu, seorang pegawai pemasaran Khairul Amar Firdaus Ismail, 37, berkata, lokasi berkenaan yang boleh dikatakan sebagai ‘nadi’ kepada Jalan TAR sering menjadi pilihan kepada warga kota untuk bersantai pada cuti hujung minggu.

“Walaupun Jalan TAR sibuk dengan kehadiran orang ramai yang mahu membeli-belah namun tangga berhadapan Sogo itu sering menjadi tumpuan kerana boleh melihat seniman jalan mempersembahkan bakat masing-masing.

“Saya sering menghabiskan cuti hujung minggu di kawasan berkenaan bukan hanya untuk membeli-belah semata-mata namun turut berhibur,” katanya.

Selain itu, seorang peniaga, Alif Saleh, 30, berkata, kawasan berkenaan sering menjadi tumpuan warga kota untuk berhibur bersama rakan masing-masing.

“Pelbagai persembahan boleh disaksikan orang ramai sambil menikmati makanan yang dijual oleh penjaja sebelum masing-masing meneruskan agenda utama iaitu membeli-belah.

“Karya seni yang dipersembahkan untuk tontonan orang ramai cukup menghiburkan dan saya bersama rakan menjadikan kawasan itu antara lokasi bersantai ketika cuti hujung minggu,” katanya di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2017 @ 5:43 AM