SEORANG wanita membuat persiapan awal persekolahan anak di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman.
SEORANG wanita membuat persiapan awal persekolahan anak di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman.
HM Digital

Kuala Lumpur: Biarpun cuti persekolahan baru saja bermula seminggu yang lalu, ibu bapa didapati sudah mulai melakukan persiapan awal membeli kelengkapan persekolahan anak bagi mengelak kesesakan ketika membeli barangan pada saat akhir.

Tinjauan Harian Metro di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), di sini, semalam, mendapati ramai ibu bapa tidak melepaskan peluang membeli-belah di lokasi berkenaan untuk mendapatkan kelengkapan persekolahan anak mereka.

Malah, ada juga ibu bapa yang sanggup mengambil cuti pada hari bekerja semata-mata mahu membeli barangan persekolahan anak kerana tidak mahu bersesak pada hujung minggu.

Suri rumah, Mazirawany Abdullah, 42, berkata, pada tahun ini, dia membuat persiapan awal membeli kelengkapan sekolah anak bagi mengelak barangan persekolahan kehabisan stok dan saiz.

“Setiap tahun saya akan berkunjung ke Jalan TAR untuk membeli kelengkapan persekolahan anak disebabkan harga barangan yang ditawarkan di sini murah berbanding tempat lain yang jauh lebih mahal.

“Jalan TAR juga memudahkan saya mencari kelengkapan sekolah anak dan boleh dikatakan sebagai one stop centre kerana apa saja barangan yang diperlukan semuanya ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 10:07 AM