ORANG ramai membeli-belah untuk persiapan Aidilfitri.
ORANG ramai membeli-belah untuk persiapan Aidilfitri.
Oleh Nur Lela Zulkipli


Kuala Lumpur: Biarpun kebanyakan pusat beli-belah Sogo di ibu kota hanya dibuka pada jam 10 pagi, orang ramai sanggup menunggu seawal jam 8 pagi untuk membeli pelbagai barangan pada diskaun melebihi 70 peratus untuk persiapan Aidilfitri.

Kakitangan swasta, Zulfadhli Ahmad, 30, berkata, sudah menjadi kebiasaan baginya setiap tahun untuk membawa keluarga membeli-belah di ibu kota pada waktu pagi sementara masih bertenaga.

“Kalau saya keluar membeli-belah pada waktu petang, badan pun sudah penat dan tidak bermaya untuk berjalan dari kedai ke kedai.

“Jadi, selepas selesai membeli barangan persiapan pada waktu tengah hari, kami boleh pulang berehat di rumah dan menunggu untuk waktu berbuka puasa,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Zulfadhli yang menetap di Shah Alam, Selangor itu juga lebih gemar membeli-belah di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) kerana harga yang ditawarkan lebih murah berbanding di kawasan rumahnya.

Tinjauan Harian Metro turut mendapati orang ramai berpusu-pusu mendapatkan keperluan hari raya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2015 @ 8:13 AM