Mustapa (empat kiri) bergambar bersama pelajar tahfiz Madrasah Darul Ansar selepas menyampaikan sumbangan sempena program TKHM 2017 di Madrasah Darul Ansar, Kampung Basung.  FOTO Ghazali Kori
Mustapa (empat kiri) bergambar bersama pelajar tahfiz Madrasah Darul Ansar selepas menyampaikan sumbangan sempena program TKHM 2017 di Madrasah Darul Ansar, Kampung Basung. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Berang: Seramai 250 keluarga membabitkan lebih 2,500 mangsa banjir dari Kampung Basung dan Kampung Pasir Dula, di sini, menerima bantuan barang keperluan dan makanan pada Misi Bantuan Banjir Titipan Kasih Harian Metro (TKHM)-Giant, hari ini.

Bantuan sama turut diberikan kepada Madrasah Darul Ansar yang terjejas akibat banjir pada hujung bulan lalu.

Pengarang Kumpulan HM Datuk Mustapa Omar berkata, misi yang pertama pada tahun ini adalah kelangsungan kepada program TKHM yang diadakan secara tahunan.

"Bagi menjayakan misi ini, kita turut mendapat kerjasama GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd (Giant) yang sudi menyumbangkan barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak dan bekalan makanan selain peralatan pembersihan seperti baldi, penyapu, penyodok sampah dan sabun.

"Selain itu, kita turut menjalankan gotong-royong mengecat dan mengemas sekitar kawasan Madrasah Darul Ansar yang terjejas dengan harapan sumbangan diberikan dapat mengurangkan beban mereka," katanya ketika ditemui pada program Misi Bantuan Banjir TKHM-Giant di Kampung Basung, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) HM yang juga Pengerusi TKHM Othman Mamat, Pengurus Kanan Perhubungan Kerajaan GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd Mohd Shahrizal Ayub dan Ketua Biro HM Terengganu Isma Ismail.

Mustapa berkata, misi sama akan diteruskan ke Kelantan esok bagi mengagihkan bantuan sama kepada penduduk terjejas banjir.

Selain Giant, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMW Toyota), Honda Malaysia Sdn Bhd dan Bermaz Motor Trading Sdn Bhd turut menaja kenderaan Briged Sukarelawan Media Prima- NSTP yang menyertai misi berkenaan.

Mustapa berkata, seramai 50 kakitangan HM, Briged Sukarelawan Media Prima-NSTP dan Sukarelawan 'Big Hearted Giant' terbabit dalam misi itu.

Sementara itu, Mohd Shahrizal berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM120,000 untuk menyediakan barangan keperluan bagi sumbangan mangsa banjir di sini dan Kelantan esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 8:49 PM